SM Sport 110R 2019 di pasaran Malaysia, harga RM3,918.00

Ketika ini tentu ramai peminat dan pengguna motosikal di pasaran tempatan yang mengenali model kapcai terbaharu, dikenali dengan nama SM Sport 110R. Model tersebut sangat popular kerana kelibatnya mudah dilihat di mana-mana saja, tambahan pula ianya dijual dan dipamerkan di banyak kedai-kedai motosikal di seluruh negara.

Antara faktor-faktor yang membuatkan model kapcai SM Sport 110R ini laris ialah kerana harganya yang berpatutan, ditawarkan pada harga asas sebanyak RM 3,918.00 sahaja sewaktu ianya diperkenalkan dalam versi warna terbaharu pada Mac 2019. Sebelum itu ianya dilancarkan buat pertama kali di pasaran Malaysia pada Julai 2017.

Faktor reka bentuknya yang sederhana namun sporty juga boleh dikatakan menjadi penyumbang kenapa ianya menjadi pilihan kebanyakan pengguna motosikal tempatan. Pada masa yang sama, ciri-ciri teknikal yang dibekalkan terhadapnya juga tidak kalah jika dibandingkan dengan model-model lain yang menjadi saingannya ketika ini.

SM Sport 110R dilengkapi enjin empat lejang bersesaran 109cc dengan kotak gear empat kelajuan berputar, menghasilkan kuasa maksimum 6.4hp @ 7,500rpm dengan tork puncak 7.0Nm @ 5,000rpm. Enjin tersebut dikatakan hadir dengan ciri-ciri seperti penjimatan petrol dan mesra alam, dan turut memenuhi piawaian emisi Euro 3.

Sistem penghidupnya terdiri daripada jenis tendang dan elektrik, manakala tangki bahan apinya mempunyai kapasiti penuh 4 liter. Sistem suspensi SM Sport 110R ini terdiri daripada fork depan jenis teleskopik, sementara di bahagian belakangnya ialah penyerap hentak berkembar jenis konvensional daripada jenama Kayaba (KYB).

Sistem brek cakera berdiameter 220 mm di bahagian depan digandingkan dengan brek jenis dram di bahagian belakang, bersama-sama sport rim yang bergaya dan tayar tanpa tiub yang memudahkan penyelenggaraan. Ukuran tayar depannya ialah 70/90-R17, yang kemudiannya digandingkan dengan tayar belakang berukuran 80/90-R17.

Ciri-ciri menarik seterusnya yang melengkapi model kapcai SM Sport 110R ini adalah seperti suis anti-kecurian, lampu Daytime Running Light (DRL), lampu signal LED, rekaan ekzos yang terkini dan sporty, ruang simpanan yang luas di bawah tempat duduk, serta tiga pilihan warna dan grafik yang kelihatan menarik dan moden.

Tempoh jaminan yang ditawarkan adalah selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan, berdasarkan yang mana-mana terdahulu. SM Sport 110R di bawah jenama motosikal SM Sport ini diedarkan oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., sebuah syarikat tempatan yang turut mengedarkan motosikal-motosikal berjenama SYM dan Benelli.