Web Analytics
Aprilia Tuono V4 X 2021 diperkenalkan, terhad 10 unit, harga bersamaan RM 173,268.87 – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Aprilia Tuono V4 X 2021 diperkenalkan, terhad 10 unit, harga bersamaan RM 173,268.87

Selepas menempa kejayaan dengan model supersport Aprilia RSV4 X 2020 pada tahun lepas, kini Aprilia muncul dengan model hyper naked terbaharu Aprilia Tuono V4 X 2021. Sekilas pandang sudah tentu ramai yang dapat melihat kehadiran sepasang sayap di bahagian depan fairingnya, yang diambil daripada jentera Aprilia RS-GP.

Menurut Aprilia, kebanyakan komponen Tuono V4 X ini diperbuat daripada gentian karbon yang ringan dan kukuh, membolehkannya mencapai berat kering hanya 166 kg. Pada masa yang sama kuasa daripada enjinnya yang dibawa terus daripada model RSV4 1100 Factory, mencapai 221hp berbanding unit standard dengan kuasa 217hp.

Semua talaan melibatkan prestasi aerodinamik, enjin dan sistem elektronik daripada Aprilia Racing yang membangunkan model ini, termasuk sistem brek perlumbaan sepenuhnya daripada Brembo, membolehkannya mencatatkan tempoh masa yang sangat impresif sewaktu ujian di Litar Imola, menghampiri rekod jentera WSBK.

Seperti yang dijangka pengeluarannya hanya dihadkan kepada 10 unit sahaja, dengan tanda harga 34,900 Euro, bersamaan dengan nilai RM 173,268.87 mengikut kadar tukaran semasa. Aprilia Tuono V4 X 2021 ini bukan hanya sekadar untuk mereka yang memiliki banyak wang, malah berani untuk mengerah prestasi maksimumnya di litar.

 
Arena Motosikal © 2023