Suzuki perkenal GSX-S150 Special Version 2020 di pasaran Thailand

Di pasaran Thailand baru-baru ini, Suzuki memperkenalkan model naked istimewa Suzuki GSX-S150 Special Version 2020 terbaharu, yang didatangkan dengan kemasan kosmetik lebih sporty dan menawan. Model tersebut didatangkan dalam tiga pilihan warna yang menarik seperti Yellow / Black, Black / Red dan Silver / Red.

Versi standard Suzuki GSX-S150 di pasaran Thailand ketika ini didatangkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Yellow, Black dan Silver. Dengan tambahan edisi Special Version tersebut, para peminat model berkenaan kini boleh memiliki sebuah model yang lebih istimewa, namun ianya dikatakan hanya ditawarkan dalam kuantiti yang terhad.

Dari segi spesfikasi teknikal, tiada sebarang maklumat mengenai perubahan yang dilakukan. Ini bermakna Suzuki GSX-S150 Special Version 2020 kekal dikuasakan enjin bersesaran 147.3cc yang digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, dengan ciri-ciri menarik seperti panel meter digital LCD sepenuhnya dan lampu depan LED.

Menurut Suzuki, GSX-S150 mempunyai berat hanya 130 kg, dengan ciri pengendalian dan tunggangan yang menyeronokkan. Tangki bahan apinya pula hadir dengan kapasiti penuh 11 liter. Di samping itu, model naked berkenaan turut dilengkapi sistem brek cakera yang mantap, tayar tanpa tiub dan rim aloi dengan rekaan 10 bilah yang sporty.