Honda Supra X 125 2020 dilancarkan di pasaran Greece

Untuk pasaran Greece, model Honda Supra X 125 2020 telah dilancarkan dalam dua pilihan warna iaitu Energetic Red dan Quantum Matte Black. Harganya pula ditetapkan sebanyak 2,800.00 Euro, bersamaan RM 13,910.58 megikut kadar tukaran semasa.

Rekaan Honda Supra X 125 di pasaran Greece didapati sama seperti model yang dijual di pasaran Indonesia, cuma bezanya ialah versi di pasaran Greece dilengkapi dengan lampu signal belakang jenis terpisah. Enjinnya bersesaran 125cc dengan kotak gear empat kelajuan, dengan kuasa 8.98hp @ 7,250rpm dan tork 10.1Nm @ 5,500rpm.

Enjin empat lejang tersebut dilengkapi sistem penyejuk jenis udara dan sistem suntikan bahan api PGM-FI, dan telah mematuhi piawaian emisi Euro 4. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 4 liter, manakala berat motosikal ialah 105 kg. Sistem suspensi depan dan belakang terdiri daripada fork teleskopik dan suspensi berkembar.

Honda Supra X 125 2020 didatangkan sistem brek cakera di bahagian depan dan belakang, dengan sistem CBS (Combined Braking System) untuk pemberhentian yang lebih cekap dan selamat. Ciri-ciri menarik lain termasuklah panel meter yang moden, pengecas USB, sistem kunci keselamatan dan lampu belakang LED yang terang.