KTM 390 Adventure 2020 dilancarkan di pasaran Indonesia, harga bersamaan RM 33,904.40 OTR

KTM Motor Indonesia kelmarin dengan rasminya melancarkan model terbaharu KTM 390 Adventure 2020 untuk pasaran Indonesia. Model motosikal dalam segmen pengembaraan tersebut dijual pada harga Rp. 119,000,000.00 On The Road Jakarta, bersamaan dengan nilai RM 33,904.40 mengikut kadar tukaran semasa.

KTM 390 Adventure ini sebenarnya turut dinanti-nantikan di pasaran Malaysia, dan dikhabarkan ianya bakal dilancarkan pada pertengahan tahun ini. Namun sehingga kini laporan tersebut masih belum menjadi kenyataan. Antara pasaran ASEAN yang telah menerima kehadiran model ini termasuklah Thailand, Singapura dan Filipina.

Dari segi spesifikasi, ianya dikuasakan enjin bersesaran 373.2cc (four-stroke, single-cylinder, liquid cooled) yang menghasilkan kuasa maksimum 43hp dan tork maksimum 37Nm. Enjin berprestasi itu kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan, dan turut dilengkapi PASC slipper clutch dan sistem pendikit Ride-by-Wire yang canggih.

Beralih ke bahagian suspensi, fork depan WP APEX hadir dengan travel 170 mm dan ciri boleh laras sepenuhnya, manakala suspensi belakang tunggal WP APEX dengan travel 177 mm juga mempunyai ciri pelarasan. Sistem brek dilengkapi ABS dua saluran daripada BOSCH dengan kaliper BYBRE, dan terdapat mod standard OFFROAD ABS.

KTM 390 Adventure turut didatangkan sistem elektronik seperti Motorcycle Traction Control (MTC), Cornering ABS, panel meter digital TFT dan teknologi sambungan KTM MY RIDE. Sistem lampu merupakan LED sepenuhnya, sementara tangki bahan api menawarkan kapasiti maksimum 14.5 liter dan berat kering motosikal hanya 158 kg.

Sebagai sebuah jentera kembara lasak, KTM 390 Adventure dilengkapi roda depan berdiameter 19 inci dan roda belakang 17 inci, kedua-duanya dipasangkan tayar tanpa tiub CONTINENTAL TKC 70 yang menawarkan prestasi cengkaman cemerlang. KTM 390 Adventure ini dikatakan sesuai sebagai sebuah jentera pengembaraan harian.