Honda ADV150 2020 di pasaran Singapura, harga bersamaan RM 48,442.46

Sejak dilancarkan secara rasmi di pasaran Indonesia pada bulan Julai 2019 yang lalu, ramai peminat Honda di pasaran Malaysia tertanya-tanya bilakah model terbaharu skuter Honda ADV150 akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia. Namun begitu setelah setahun berlalu, sehingga kini harapan masih lagi tinggal harapan.

Bagaimanapun di pasaran negara jiran Singapura, Honda ADV150 2020 secara rasminya dilancarkan pada bulan Mei 2020 yang lalu, dalam empat pilihan warna yang menarik iaitu White Black, Red Black, Brown Grey dan Mat Gunpowder Black Metallic. Berkenaan harga, ianya ditawarkan sebanyak SGD 15,800.00, bersamaan nilai RM 48,442.46 mengikut kadar tukaran semasa.

Harga tersebut sememangnya tinggi, namun ianya disebabkan oleh nilai mata wang Singapura yang lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia, dan ditambah lagi dengan kadar cukai kenderaan di Singapura yang sememangnya antara yang tertinggi di dunia. Untuk pasaran Thailand, Honda ADV150 dijual pada harga THB 97,900.00, bersamaan RM 13,109.25, dan di pasaran Filipina, harganya bersamaan RM 12,833.22 sahaja.

Honda ADV150 sejak ianya mula diperkenalkan telah berjaya menarik perhatian ramai peminat yang mahukan sebuah model skuter yang bergaya, moden dan sporty. Ianya dikuasakan enjin eSP (Enhanced Smart Power) bersesaran 149cc (four-stroke, single cylinder, 2-valve, SOHC, liquid cooled) dengan transmisi automatik, dan menawarkan kuasa maksimum 14.7hp (11kW) @ 8,500rpm dengan tork 14Nm @ 6,500rpm.

Kapasiti maksimum tangki bahan apinya seluas 8 liter, manakala beratnya ialah 134 kg (kerb weight). Sistem suspensi di bahagian depan merupakan fork teleskopik, dan di bahagian belakang terdapat penyerap hentak berkembar dengan subtank daripada Showa. Sistem brek cakera hadir di bahagian roda depan dan belakang, dan ianya dilengkapi sistem brek ABS dengan single channel.

Antara ciri-ciri menarik dan moden yang didatangkan untuk model Honda ADV150 ini termasuklah panel meter digital sepenuhnya, windscreen yang boleh dilaraskan, lampu depan LED dengan lampu posisi, lampu belakang LED, sistem Honda Smart Key, ruang simpanan seluas 27 liter di bawah tempat duduk, dan ruang kompatmen berkeluasan 2 liter di bahagian depan dengan kemudahan port pengecasan 12-volt.

Setakat ini tiada sebarang maklumat atau petunjuk daripada pihak Boon Siew Honda (BSH) mengenai pelancaran Honda ADV150 ini untuk pasaran Malaysia. Kemungkinan paling dekat ianya dilancarkan ialah pada hujung tahun ini, atau mungkin juga pada awal tahun depan sebagai model tahun 2021 disertai penampilan warna baharu.