Sempena dengan pelancaran rasmi Honda CBR600RR 2021 di pasaran Jepun pada dua hari yang lepas, HRC (Honda Racing Corporation) pada hari yang sama turut melancarkan jentera perlumbaan berasaskan model tersebut untuk musim depan.
Menurut HRC, jentera perlumbaan Honda CBR600RR itu akan dibekalkan kepada pusat servis HRC di seluruh Jepun bermula Januari 2021. Pasukan atau individu yang berminat boleh membuat tempahan di mana-mana pusat servis HRC yang berdekatan.
Honda CBR600RR daripada HRC merupakan jentera perlumbaan yang diubahsuai daripada versi jalanan CBR600RR, dengan membuang komponen-komponen keselamatan yang tidak diperlukan dan melengkapkannya dengan kit perlumbaan HRC.
Jentera perlumbaan CBR600RR daripada HRC hanya untuk kegunaan di litar sahaja dan tidak sah digunakan di jalan raya biasa. HRC turut mengumumkan mereka juga akan menjual kit perlumbaan untuk model CBR600RR bermula Januari 2021.