KTM 200 Duke 2020 serba baharu dilancarkan di pasaran USA

KTM North America, Inc. kelmarin secara rasminya melancarkan model naked KTM 200 Duke 2020 serba baharu untuk pasaran USA. Harga jualan asas yang ditetapkan adalah sebanyak $ 3,999 USD, bersamaan RM 16,725.82 mengikut kadar tukaran semasa. Dua skim pilihan warna menarik yang disediakan ialah jingga dan juga putih.

KTM 200 Duke 2020 dikuasakan enjin bersesaran 199.5cc (4-Stroke, Single-Cylinder, DOCH, Liquid-Cooled) dengan sistem suntikan bahan api elektronik, yang kemudiannya digandingkan dengan transmisi enam kelajuan. Jumlah keluaran kuasa maksimumnya ialah 25.4hp (19kW), manakala tangki bahan apinya hadir dengan isian penuh 13.4 liter.

Mempunyai ciri tunggangan yang mudah dikendalikan dan lincah, peranan suspensi depannya dimainkan oleh WP APEX 43 mm jenis upside-down, bersama-sama suspensi monoshock WP APEX di bahagian belakang. Sistem brek cakera 300 mm (depan) dan 230 mm (belakang) pula lengkap dengan sistem Bosch 2-Channel ABS.

Untuk pelbagai maklumat berguna sewaktu tunggangan, KTM 200 Duke 2020 didatangkan panel instrumen digital LCD, di samping lampu depan bergaya agresif dengan nyalaan terang, rim aloi berdiameter 17 inci berwarna jingga dengan tayar lebar yang impresif, dan berat kering keseluruhan dalam lingkungan hanya 140 kg.

Untuk pasaran Malaysia, KTM 200 Duke 2020 yang ditawarkan ketika ini masih lagi merupakan model terdahulu (rujuk gambar di bawah), seperti mana yang dipaparkan di dalam laman sesawang KTM Malaysia. Maklumat di dalam laman Mudah.my juga menunjukkan model lama, dengan harga jualannya dalam lingkungan RM 11,888.00.

Galeri : All-New 2020 KTM 200 Duke (USA)

Galeri : 2020 KTM 200 Duke (Malaysia)

(Visited 134 times, 1 visits today)