Yamaha Exciter 155 VVA dijangka bakal dilancarkan pada awal tahun 2021

Model terbaharu Yamaha Exciter 155 VVA kini bukan lagi hanya sekadar khabar angin, apabila kelibatnya didedahkan melalui beberapa keping gambar ‘spyshot’ dalam bulan Mei 2020 yang lepas. Cuma apa yang menjadi tanda tanya selepas itu ialah kenapa sehingga kini model yang ditunggu-tunggu itu belum dilancarkan secara rasmi.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari Vietnam baru-baru ini, dikatakan Yamaha Motor Vietnam tidak akan melancarkan Yamaha Exciter 155 VVA dalam tahun ini atas sebab-sebab tertentu, sebaliknya akan dilancarkan pada awal tahun 2021 akan datang. Berita ini seterusnya mencetuskan beberapa spekulasi mengenai sebab-sebabnya.

Antaranya dikatakan rekaan model tersebut akan dikemaskini semula di bahagian lampu depannya, kerana rekabentuk yang asal dikatakan kurang menarik. Tidak pasti sama ada maklumat ini tepat atau tidak, kerana gambar-gambar ‘spyshot’ yang kita lihat sebelum ini tidak menunjukkan sudut atau rekaan di bahagian tersebut dengan jelas.

Jika sebab itu tidak benar, mungkin juga kerana pihak Yamaha mahu melancarkan model tersebut setelah pandemik Covid-19 semakin reda, sekurang-kurangnya pada penghujung tahun ini. Atau juga kerana mereka mahu menghabiskan dahulu stok Yamaha Exciter 150 yang ketika ini mungkin masih banyak di pasaran Vietnam.

Namun tidak kira apa sebabnya dan apa saja spekulasi yang timbul, kemunculan Yamaha Exciter 155 VVA ini di pasaran Vietnam dalam tempoh beberapa bulan lagi, seterusnya di pasaran Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan semestinya di pasaran Malaysia, pasti akan mendapat sambutan hangat daripada peminat setia.

Antara sebabnya ialah rekabentuk Yamaha Exciter 155 VVA ini kelihatan lebih sporty berbanding Yamaha Exciter 150, di samping dilengkapi beberapa ciri baharu yang lebih menarik. Antaranya enjin dengan sistem VVA yang lebih berkuasa, transmisi enam kelajuan, panel meter baharu, Assist & Slipper Clutch dan sistem kunci Keyless.

Kelajuan maksimumnya juga dijangka akan bertambah lagi, bersesuaian dengan kemampuan enjinnya yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa dan tork dijangka sama seperti yang dimiliki oleh model Yamaha YZF-R15 V3, iaitu bersamaan 19.3PS (14.2kW) @ 10,000rpm dengan tork 14.7Nm @ 8,500rpm.

Bagaimanapun untuk peminat di pasaran tempatan, model yang mungkin akan dikenali dengan nama Yamaha Y15ZR V3 2021 ini dijangka hanya akan diperkenalkan selepas ianya dilancarkan di pasaran Vietnam terlebih dahulu. Mungkin selang masa akan mengambil tempoh beberapa bulan, bermakna kita semua perlu menunggu lebih lama.