Kawasaki Z1000 2021 dilancarkan di pasaran Indonesia

Untuk pasaran negara jiran Indonesia, Kawasaki pada 28hb. Julai 2020 baru-baru ini dengan rasminya melancarkan model supernaked Kawasaki Z1000 model tahun 2021 terbaharu. Model tersebut ditawarkan pada harga Rp 349,000,000.00, bersamaan nilai RM 98,497.01 mengikut kadar tukaran semasa, dalam pilihan warna tunggal Hitam.

Kawasaki Z1000 2021 dilengkapi enjin 1,043cc (Liquid-cooled, 4-stroke In-Line Four, DOHC, 16 valves) dengan transmisi enam kelajuan, dan dibantu sistem Assist & Slipper Clutch.  Kuasa maksimumnya mencapai 142PS @ 10,000rpm dengan tork 111Nm @ 7,300rpm. Tangki bahan apinya berkapasiti 17 liter, sementara beratnya 221 kg.

Sebagai sebuah model berprestasi tinggi yang juga digelar Streetfighter, Kawasaki Z1000 2021 mempunyai gandingan suspensi depan dan belakang yang boleh dilaraskan. Sistem brek cakera berkembar di bahagian depan dan cakera tunggal di bahagian belakang pula memainkan peranan optimum dengan bantuan sistem ABS.

Seperti mana model tahun sebelumnya, Kawasaki Z1000 2021 kekal dengan konsep rekaan Sugomi yang sporty dan agresif. Ciri-ciri lain yang menambahkan lagi nilainya termasuklah paparan skrin instrumen digital LCD dan takometer LED, sistem lampu LED, sistem ekzos berkembar di bahagian kiri dan kanan dan rim aloi serba ringan.