SYM Sport Rider 125i merupakan salah sebuah pilihan model moped yang ditawarkan di pasaran Malaysia ketika ini. Diperkenalkan pada tarikh 28hb. Mei 2018 dengan grafik baharu dalam tiga pilihan warna iaitu Merah, Biru dan Kuning, harga jualan untuk model berkenaan adalah sebanyak RM5,542.20 (tidak termasuk insuran dan cukai jalan).
Dikuasakan enjin berkapasiti 123cc (4-Lejang, Penyejuk Udara, 2 Injap, SOHC) dengan sistem EFI (Electronic Fuel Injection) dan kotak gear empat kelajuan jenis berputar, ianya menghasilkan kuasa maksimum 8.5PS @ 8,000rpm dengan tork puncak 10.8Nm @ 5,500rpm. Sistem penghidupnya terdiri daripada jenis tendang dan juga elektrik.
SYM Sport Rider 125i dibekalkan tangki bahan api dengan muatan 4.2 liter, dengan berat bersih motosikal ialah 107 kg. Suspensi depannya merupakan fork teleskopik, manakala suspensi belakang jenis berkembar dengan lengan buai. Untuk membrek dengan selamat, ianya dilengkapi brek cakera depan dan brek belakang jenis dram.
Ciri-ciri menarik yang melengkapi SYM Sport Rider 125i ini termasuklah enjinnya yang mematuhi piawaian emisi Euro 3 yang mesra alam dan menjimatkan petrol, paparan meter dengan kombinasi LCD dan analog, lampu belakang LED, ruang penyimpanan di bawah tempat duduk, dan rim aloi yang sporty dengan penggunaan tayar tanpa tiub.
Bagi setiap pembelian, tempoh jaminan yang diberikan adalah 2 tahun waranti dengan tambahan 1 tahun waranti enjin, atau 20,000 km dengan tambahan 10,000 km penambahan waranti enjin, mengikut mana-mana yang terdahulu. Untuk maklumat selanjutnya, anda boleh kunjungi sendiri bilik pameran SYM yang berdekatan.