Siri SYM Bonus 110 kapcai mampu milik di pasaran Malaysia

Masih tercari-cari model kapcai mampu milik yang mempunyai gaya penampilan menarik dan spesifikasi yang memuaskan? Mungkin kapcai di dalam siri SYM Bonus 110 boleh dipertimbangkan, yang dilancarkan pada tarikh 24hb. Ogos 2018 yang lalu.

Untuk pasaran Malaysia, siri kapcai SYM Bonus ditawarkan dalam tiga varian iaitu SYM E Bonus 110, SYM E Bonus 110 H dan SYM Bonus 110 SR. Perbezaan antara ketiga-tiga varian tersebut melibatkan bahagian rim roda, tayar, sistem brek dan soket USB.

Bagi varian SYM E Bonus 110, ianya dilengkapi rim roda berjejari yang dipasangkan tayar daripada jenis tiub biasa, bersama-sama sistem brek depan dan belakang jenis dram. Varian SYM E Bonus 110 H pula didatangkan sport rim yang bergaya dengan tayar tanpa tiub, juga dengan sistem brek depan dan belakang jenis dram.

SYM Bonus 110 SR merupakan varian teratas yang lebih sporty. Selain daripada dilengkapi sport rim dengan tayar tanpa tiub, ianya juga didatangkan sistem brek cakera di bahagian depan dengan brek dram di bahagian belakang. Sebagai tambahan, ianya didatangkan soket USB untuk kemudahan mengecas gajet atau telefon pintar.

Ketiga-tiga varian siri SYM Bonus berkenaan dilengkapi enjin empat lejang bersesaran 108cc dengan sistem penyejukan jenis udara, seterusnya digandingkan dengan kotak gear empat kelajuan jenis berputar (4-Speed Rotary Gear System). Kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 7.1hp (5.3kW) @ 7,500rpm dan tork 7.45Nm @ 5,000rpm.

Walaupun masih menggunakan sistem penyampaian bahan api jenis karburator, siri SYM Bonus telah menawarkan teknologi piawaian emisi Euro 3 yang lebih mesra alam. Untuk lebih memudahkan, selain daripada sistem penghidup jenis tendang, ketiga-tiga model Bonus berkenaan turut dilengkapi sistem penghidup jenis elektrik.

Antara ciri-ciri menarik lain yang didatangkan untuk ketiga-tiga model berkenaan termasuklah panel meter yang terang dan sporty, lampu depan yang besar untuk pandangan yang lebih baik pada waktu malam, sistem kunci dengan ciri keselamatan yang mencegah kecurian, dan ruang kompatmen di bawah tempat duduk yang luas.

Harga yang ditawarkan sewaktu pelancaran dahulu adalah sebanyak RM 3,768.00 untuk varian E Bonus 110, RM 3,898.00 untuk varian E Bonus 110 H dan RM 4,278.00 untuk varian E Bonus 110 SR (semua harga tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Tiga pilihan warna yang tersedia ialah Biru, Hitam dan juga Merah.

Galeri : SYM E Bonus 110

Galeri : SYM E Bonus 110 H

Galeri : SYM E Bonus 110 SR

Brochure SYM E Bonus

(Visited 179 times, 1 visits today)