Paparan Honda CBR600RR 2021 lebih jelas dari Jepun

Generasi terbaharu Honda CBR600RR 2021 bakal dilancarkan secara rasmi pada tarikh 21hb. Ogos 2020 akan datang. Namun begitu di negara asalnya Jepun, model tersebut telah pun dipertontonkan kepada pihak media di sana baru-baru ini.

Berdasarkan beberapa keping gambar yang disiarkan di dalam laman sesawang Autoby, kita dapat melihat dengan lebih jelas perincian Honda CBR600RR terbaharu, yang didatangkan dalam skim warna Tricolour dengan pelekat rasmi logo HRC.

Antara yang paling mendapat perhatian ialah sistem ekzos CBR600RR 2021 masih lagi dikekalkan di bawah tempat duduk, sedangkan pesaingnya yang lain seperti Kawasaki Ninja ZX-6R, Yamaha YZF-R6 dan Suzuki GSX-R600, semuanya di bahagian sisi.

Lampu depan juga telah berubah menjadi lebih sempit, dan di bawahnya sudah pasti ramai yang teruja melihat kehadiran winglet untuk prestasi aerodinamik yang lebih baik. Paparan meter digital memperlihatkan indikator mod yang merangkumi Power, Torque Control, Wheelie Control dan Engine Brake, termasuklah petunjuk tongkat sisi.

Untuk maklumat lebih lanjut, kita perlu menunggu tarikh pelancaran rasmi Honda CBR600RR 2021 ini yang akan berlangsung pada Ogos depan, untuk mengetahui spesifikasi yang lebih lengkap dan jumlah kuasa enjin yang dihamburkan olehnya.

Sumber : Autoby.jp