MV Agusta Dragster 800 RR SCS 2020 dilancarkan, dilengkapi Smart Clutch System, harga bermula 19,490 Euro

Jika anda masih ingat artikel terdahulu yang disiarkan dalam bulan Februari 2020 di dalam blog ini, ianya adalah mengenai model terbaharu MV Agusta Dragster 800 RR SCS 2020, yang bakal tiba di pasaran Eropah untuk musim jualan tahun ini.

Baru-baru ini pada tarikh 31hb. Julai 2020, MV Agusta telah mengumumkan pelancaran untuk model berkenaan, dan harga yang ditawarkan masih sama, bermula daripada 19,490 Euro. Harga tersebut ketika ini bersamaan dengan nilai RM 96,458.45, mengikut kadar tukaran mata wang semasa.

Apa yang menariknya mengenai model Dragster 800 RR SCS terbaharu ini, seperti mana namanya ialah ianya dilengkapi teknologi Smart Clutch System (SCS) yang menawarkan ciri tunggangan lebih mudah. Penunggang boleh mengabaikan tuas klac tangan jika itu yang dimahukan, bagaikan menunggang motosikal automatik.

Sistem tersebut sebelum ini diperkenalkan pada model MV Agusta Turismo Veloce 800 Lusso SCS, dan kini antara model yang menggunakannya termasuklah Turismo Veloce RC SCS, Dragster 800 RC SCS dan Brutale 800 RR SCS.

Dari segi kuasa, Dragster 800 RR SCS dilengkapi enjin tiga silinder 798cc dengan transmisi enam kelajuan, dan menjana sehingga 140hp @ 12,300rpm dengan tork maksimum 87Nm @ 10,100rpm. Enjin tersebut seterusnya dilengkapi teknologi sistem pengurusan enjin canggih yang diberi nama MVICS 2.0 dan juga sistem electronic quick-shift MV EAS 2.1 (Electronically Assisted Shift up & down).

Memiliki kapasiti tangki bahan api 16.5 liter dan berat kering hanya 168 kg, kelajuan maksimumnya dikatakan mencapai angka 244 km/j. Untuk ciri keselamatan terbaik, tugasan itu disempurnakan oleh sistem brek Brembo dengan ABS daripada Bosch.

(Visited 71 times, 1 visits today)