Demak Skyline-GT 225cc masih dijual di pasaran Sri Lanka

Di pasaran Malaysia, jenama pengeluar motosikal tempatan Demak telah pun berkubur sejak pertengahan tahun 2018 yang lalu. Namun begitu di pasaran Sri Lanka, Demak masih lagi menjalankan perniagaannya seperti biasa ketika ini, dengan menjual sebanyak 12 model termasuk motosikal jenis kembara (adventure) dan juga skuter.

Pemerhatian di dalam laman Facebook Demak Sri Lanka juga mendapati syarikat tersebut masih lagi aktif, dengan kemaskini terakhir 5 hari yang lalu. Sebenarnya agak menghairankan kenapa Demak mengundurkan diri daripada pasaran Malaysia secara tiba-tiba, sedangkan masih mengekalkan perniagaan mereka di pasaran Sri Lanka.

Salah sebuah model berprestasi yang ditawarkan oleh Demak Sri Lanka ketika ini ialah Demak Skyline-GT dengan enjin bersesaran 225cc, dalam tiga pilihan warna menarik Hijau, Merah dan Hitam. Tentu ramai peminat motosikal di Malaysia yang mempunyai pengalaman dengan model Skyline ini, sama ada pengalaman manis atau sebaliknya. Untuk pasaran Malaysia, Demak Skyline GT dilengkapi enjin berkapasiti 250cc.

Model-model lain yang ditawarkan termasuklah Savage Supra 120cc, DXT Dart 225cc, DZM 200cc, Skyborn 150cc, Warrior 150cc dan DZR 120cc. Beberapa bulan yang lepas di negara kita, telah muncul sebuah syarikat pengeluar motosikal baharu iaitu Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. Adakah syarikat ini mempunyai kaitan dengan Demak?

Artikel berkaitan : Aveta DY90 dan Aveta RX110 kini di pasaran Malaysia

(Visited 1,731 times, 1 visits today)