Yamaha PW50 2021 untuk pasaran Jepun diperkenalkan, mengekalkan konsep ‘fun bike’ untuk kanak-kanak

Yamaha di pasaran Jepun baru-baru ini telah memperkenalkan model ‘off road’ cilik Yamaha PW50 model tahun 2021, yang kini tampil dengan kemaskini warna dan grafik baharu. Telah berada di pasaran sejak 39 tahun yang lalu, model tersebut masih mengekalkan konsepnya sebagai motosikal ‘fun bike’ permulaan untuk kanak-kanak.

Yamaha PW50 direka untuk kanak-kanak dengan berat 25 kg atau kurang, dengan ciri-ciri utamanya ialah enjin automatik yang mudah dikendalikan, badan yang kecil dan ringan, sistem aci pemacu yang hanya memerlukan penyelenggaraan minimum dan tuas brek tangan di kiri dan kanan yang beroperasi sama seperti brek basikal.

Ciri-ciri lain termasuklah penghad kelajuan yang boleh disesuaikan melalui bukaan pendikit, ketinggian tempat duduk 48 cm yang sesuai untuk kanak-kanak, suspensi belakang dengan peredam minyak dengan ciri redaman yang sangat baik, tongkat berdiri tengah, plat pengurangan kuasa yang dapat menghadkan kuasa enjin, dan fork depan yang menggunakan tiub luar aluminium dan peredam minyak terbina dalam.

Yamaha PW50 dilengkapi enjin dua lejang satu silinder bersesaran 49cc dengan sistem sejukan udara, mempunyai tangki bahan api 2.0 liter dan berat motosikal hanya 41 kg. Jualannya secara rasmi di pasaran Jepun akan bermula pada 30hb. Oktober 2020, pada harga 176,000 Yen, bersamaan RM 6,957.49 mengikut kadar tukaran semasa.

Galeri : 2021 Yamaha PW50

Galeri : 1981 Yamaha PW50

(Visited 73 times, 1 visits today)