CFMOTO 700CL-X Heritage 2020 dilancarkan di pasaran China, harga bersamaan RM 27,524.83

CFMOTO pada 30hb. Julai 2020 baru-baru ini secara rasminya melancarkan model terbaharu CFMOTO 700CL-X Heritage 2020 untuk pasaran China. Model tersebut didatangkan dalam dua pilihan warna Coal Grey dan Twilight Blue, pada harga RMB 45,800, bersamaan RM 27,524.83 berdasarkan nilai kadar tukaran semasa.

CFMOTO 700CL-X Heritage tampil dengan gaya rekaan klasik yang menawan, yang dapat dilihat melalui kehadiran lampu utama berbentuk bulat, panel sisi aluminium tangki bahan api, tempat duduk kulit, rim aloi berbilang bilah dan tayar daripada Pirelli. Gabungan elemen klasik dan moden menjadikannya sangat menarik untuk dipandang.

Di kalangan barisan model motosikal keluaran CFMOTO, setakat ini 700CL-X Heritage menawarkan kapasiti enjin paling besar iaitu bersesaran 693cc. Enjin dua silinder sejukan cecair dengan padanan transmisi enam kelajuan itu menghasilkan kuasa maksimum 73.7hp (55 kW) @ 8,500rpm dan tork puncak 68Nm @ 6,500rpm. Dengan teknologi CF-SC slipper clutch, tunggangan dan kawalan juga menjadi lebih mudah.

Enjin tersebut turut dilengkapi sistem BOSCH EFI dan teknologi pendikit elektronik yang memastikan pembakaran bahan api lebih lengkap dan bersih, seterusnya membolehkan penggunaan bahan bakar yang lebih rendah dan mesra alam. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti penuh 13 liter, sementara berat motosikal ialah 196 kg sahaja.

Untuk tunggangan yang kekal selesa, ketinggian tempat duduk diletakkan pada paras 800mm, sementara bar hendal direka pada kedudukan lebih tegak. Fork depan 41mm USD KYB dan suspensi belakang tunggal KYB (link-mounted) memastikan kelancaran tunggangan pada setiap masa, dengan ciri boleh dilaraskan mengikut kesesuaian.

Untuk pemberhentian yang sentiasa selamat, 700CL-X Heritage dilengkapi sistem brek J.JUAN yang lancar dan berkuasa, melalui sistem brek cakera di bahagian depan dan belakang. Model tersebut juga dilengkapi pelbagai sistem perlindungan yang lain antaranya seperti Continental ABS, ignition protection, limp mode dan rollover sensor.

Lampu depan jenis LED pada 700CL-X Heritage menggunakan sistem bantu penyesuaian diri, yang dapat dihidupkan atau dimatikan secara automatik sesuai dengan kecerahan sekitarnya, memastikan penglihatan yang terang dan jelas dalam keadaan jalan yang berbeza, terutama di terowong dengan kontras cahaya yang jelas.

Untuk lebih kemudahan agar fokus penunggang di jalan raya tidak terganggu, lampu signal akan dimatikan setelah arah tunggangan kembali berada pada kedudukan lurus. Paparan panel meter LCD bergaya retro pula memberikan maklumat yang diperlukan dengan jelas, termasuk adanya dua mod tunggangan iaitu economic dan sport.

Sebagai tambahan, CFMOTO 700CL-X Heritage 2020 turut dilengkapi dengan sistem kawalan pelayaran (cruise control) berkelajuan tetap, tawaran baharu yang signifikan untuk industri motosikal pada masa kini. Dengan hanya satu sentuhan, sistem berkenaan mengawal kelajuan yang disesuaikan dengan keperluan penunggang.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, model terbaharu ini dikatakan sedang dalam perancangan untuk dilancarkan di pasaran Malaysia, pada tahun 2021. Yang penting harganya perlu kekal berpatutan, sama seperti di pasaran China. Jika harganya di bawah RM 35k, dijangkakan ianya pasti akan mendapat sambutan daripada peminat.

(Visited 186 times, 1 visits today)