Honda BeAT 2019 di pasaran Malaysia, harga RM5,365.00

Untuk pasaran tempatan, salah sebuah model skuter menarik dan bergaya yang ditawarkan oleh Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) ialah Honda BeAT 2019, yang diperkenalkan secara rasmi pada tarikh 11hb. Januari 2019 yang lalu. Model tersebut sebelum ini dilancarkan buat pertama kalinya di pasaran Malaysia pada tahun 2016.

Bagi model terbaharu tahun 2019, Honda BeAT tampil dengan jalur grafik terkini yang dipadankan dengan empat pilihan warna menarik iaitu Pearl Nightfall Blue, Vivacity Red, Space Magenta Metallic dan Pearl Magellanic Black. Harga jualannya adalah sebanyak RM 5,365.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

Honda BeAT 2019 memiliki enjin bersesaran 108.2cc (single-cylinder, four-stroke, air-cooled) yang menghasilkan kuasa maksimum 8.7hp (6.48 kW) @ 7,500rpm dengan tork 9.21Nm @ 6,000rpm. Dilengkapi transmisi automatik V-Belt, tangki petrol 4 liter dan berat hanya 94 kg, Honda BeAT bebas ditunggang ke mana saja destinasi yang ditujui.

Untuk tahap keselamatan yang lebih baik, Honda BeAT didatangkan dengan suis tongkat sisi yang akan mematikan enjin secara automatik sejurus ia diturunkan. Enjin hanya boleh dihidupkan selepas tongkat sisi diangkat. Selain itu tuas penguncian brek akan mencegah pemecutan secara tidak sengaja apabila motosikal berhenti.

Sistem brek kombinasi (Combi Brake System) pula akan memastikan tahap pemberhentian yang lebih lasak dan dinamik, yang disempurnakna oleh brek cakera hidraulik di bahagian depan dan brek jenis mekanikal dram di bahagian belakang. Ciri keselamatan lain ialah Smart Lock System dan penggunaan tayar tanpa tiub.