Honda CT125 dilancarkan di pasaran Thailand, harga bermula dari RM 11,475.36

Pada pertengahan Julai 2020 baru-baru ini, bertempat di Bangkok International Motor Show 2020, Honda secara rasminya melancarkan model terbaharu Honda CT125 untuk pasaran Thailand. Model tersebut sebelum ini diperkenalkan di pasaran domestik Jepun pada bulan Mac yang lepas, dan dikenali dengan nama Honda CT125 Hunter Cub.

Perwatakan Honda CT125 dikatakan sangat sesuai untuk pelbagai aktiviti luar yang lasak sama ada untuk menjelajah kawasan hutan, melakukan aktiviti perkhemahan, merentas kawasan luar bandar atau untuk meredah laluan sukar. Motosikal ini juga dikatakan sesuai untuk golongan wanita kerana cirinya yang mudah ditunggang.

Jadi sama ada anda bersendirian atau bersama rakan-rakan tidak kira lelaki atau perempuan, melakukan aktiviti luar sememangnya lebih mudah dan menyeronokkan dengan model Honda CT125 ini. Untuk pasaran Thailand, Honda CT125 mempunyai dua pilihan warna iaitu Glowing Red dan Mat Fresco Brown. Harga yang ditawarkan adalah seperti berikut, dalam tiga pilihan varian kesemuanya :

  • 2020 Honda CT125 (Standard) : THB 84,900 (RM 11,475.36)
  • 2020 Honda CT125 (City Trail) : THB 98,900 (RM 13,367.65)
  • 2020 Honda CT125 (Trekking) : THB 108,900 (RM 14,719.28)

Honda CT125 dilengkapi enjin empat lejang 125cc dengan sistem penyejuk udara dan sistem suntikan bahan api PGM-FI, seterusnya dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan. Tangki bahan apinya mempunyai ruang yang luas sehingga 5.4 liter, membolehkannya melakukan perjalanan sejauh 360 km sebelum perlu diisi semula.

Honda CT125 didatangkan dengan pelbagai ciri-ciri menarik seperti sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital, rak belakang yang kukuh untuk muatan barang-barang sehingga berat 20 kg, suspensi depan yang direka khas untuk pelbagai laluan yang mencabar, sistem brek cakera dengan ABS, enjin dengan pelindung yang kuat dan juga penutup bagi mengurangkan kebisingan, dan posisi ekzos yang diletakkan lebih tinggi.

Sama seperti Indonesia dan Vietnam, Thailand juga merupakan salah satu pasaran yang besar untuk jualan motosikal di rantau Asia Tenggara. Jadi tidak hairanlah jika model unik seperti Honda CT125 ini ditawarkan di negara gajah putih tersebut. Untuk pasaran Malaysia, tidak pasti sama ada BSH akan turut melancarkannya.