KTM 250 Duke 2020 bakal terima lampu utama LED

Sejak tahun 2017, tiga model naked keluaran KTM iaitu KTM 125 Duke, KTM 250 Duke dan KTM 390 Duke telah menerima kemaskini baharu dari segi rekaan, menjadikan penampilan ketiga-tiga model tersebut lebih sporty berbanding model sebelumnya.

Antara perubahan ketara untuk ketiga-tiga model tersebut yang seringkali menjadi perhatian ramai ialah kehadiran reka bentuk lampu utama yang kelihatan lebih tajam dan agresif. Bagaimanapun apa yang terkurang ialah bagi model KTM 250 Duke, apabila ianya masih lagi dilengkapi lampu halogen jenis lama, sedangkan model KTM 125 Duke dan KTM 390 Duke telah pun dilengkapi lampu utama LED jenis terpisah.

Perkara tersebut sebenarnya agak menghairankan, kerana sejak ianya diperkenalkan pada tahun 2017 sehinggalah ke pertengahan tahun 2020, KTM 250 Duke masih menggunakan rekaan dan teknologi lampu yang sama. Bagaimanapun berdasarkan laporan terkini dari pasaran India, perkara tersebut akan berubah tidak lama lagi.

Menurut laporan dari Autocar India, KTM 250 Duke model tahun 2020 terbaharu bakal diperkenalkan dengan lampu utama LED, sama seperti yang melengkapi model KTM 125 Duke dan KTM 390 Duke ketika ini. Lampu utama LED jenis terpisah itu akan mengekalkan identitinya yang diapit oleh dua lampu DRL di kiri dan kanannya. Mungkin agak terlewat, namun bak kata pepatah, lebih baik terlewat daripada tiada langsung.

Selain itu, KTM 125 Duke dan KTM 390 Duke ketika diperkenalkan pada tahun 2017 yang lalu juga telah pun dilengkapi dengan paparan instrumen digital TFT berwarna sepenuhnya yang lebih canggih, manakala KTM 250 Duke hanya dilengkapi paparan instrumen digital LCD. Sayangnya buat masa ini, KTM 250 Duke 2020 terbaharu dilaporkan akan terus kekal dengan panel instrumen digital LCD jenis lama tersebut.

Untuk pasaran Malaysia, KTM 250 Duke dan KTM 390 Duke terbaharu telah dilancarkan secara rasmi pada bulan September 2017 yang lalu, dan kedua-dua modelĀ  berkenaan masih lagi ditawarkan di pasaran tempatan ketika ini. Bagi model KTM 125 Duke, ianya boleh didapati di pasaran Eropah dan juga di pasaran Korea Selatan.

Sumber : Autocar India

(Visited 200 times, 1 visits today)