Adakah ini model terbaharu QJ 350, Benelli 350S atau Harley-Davidson HD350?

Syarikat pengeluar motosikal Zhejiang Qianjiang Motorcycle Group Co. baru-baru ini telah mendedahkan rekaan model terbaharu keluaran mereka, seperti mana yang dipatenkan melalui National Intellectual Property Administration milik kerajaan China. Pertama kali memandangnya, rekaannya boleh dikatakan sangat menarik.

Untuk makluman anda, Zhejiang Qianjiang Motorcycle Group Co. merupakan syarikat yang memiliki jenama motosikal QJ Motor dan Benelli, dan ditambah pula dengan fakta bahawa syarikat tersebut merupakan rakan kerjasama kepada syarikat pengeluar motosikal ternama dari Amerika Syarikat iaitu Harley-Davidson.

Jadi berdasarkan gambar-gambar model terbaharu tersebut, menurut sumber dari Motorcycle.com, kemungkinan besar model tersebut akan dikeluarkan oleh dari tiga syarikat yang berbeza iaitu QJ Motor, Benelli dan juga Harley-Davidson. Mungkin nama ketiga-tiga model tersebut ialah QJ 350, Benelli 350S atau Harley-Davidson HD350.

Menurut Motorcycle.com lagi, model terbaharu itu memiliki enjin bersesaran 350cc, tidak jauh berbeza dengan perancangan Harley-Davidson sebelum ini yang merancang untuk mengeluarkan motosikal bersaiz kecil untuk pasaran Asia Tenggara, dengan sesaran enjin yang disebut-sebut sebelum ini berkapasiti 338cc.

Juga jika diperhatikan dengan teliti di bahagian penutup enjin di sebelah kiri motosikal tersebut, tertera perkataan “Harley-Davidson Motor Company,”. Jadi memang tidak syak lagi, inilah model terbaharu yang akan diperkenalkan oleh Harley-Davidson khusus untuk pasaran yang lebih luas di Asia Tenggara, termasuk di pasaran-pasaran lain.

Bagaimanapun, buat masa ini paparan gambar-gambar ini dikatakan lebih merujuk kepada model terbaharu keluaran QJ Motor dan Benelli, yang mungkin akan masuk ke pasaran secara rasmi pada tahun depan. Nasib model ini untuk menggunakan jenama Harley-Davidson pula dikatakan masih kurang jelas.

Ini kerana Harley-Davidson ketika ini bergelut dengan angka jualan yang rendah dan terpaksa menanggung kerugian. Tetapi mana tahu dengan pengenalan model terbaharu ini dengan enjin lebih kecil, Harley-Davidson mungkin akan kembali mencatatkan keuntungan. Rasanya tentu ramai yang berminat dengan model terbaharu ini.

Sumber : Motorcycle.com