Motosikal dalam kelas 250cc terutamanya untuk model-model yang tampil dengan gaya rekaan sportbike atau superbike, seringkali mencetuskan perdebatan hangat di kalangan peminat mengenai jumlah silinder enjin yang sepatutnya digunakan.
Ini kerana model-model 250cc tersebut hadir dengan konfigurasi jumlah silinder yang tidak sama bilangannya, sama ada satu silinder, dua silinder atau pun empat silinder. Kebanyakan peminat motosikal seringkali memuji motosikal 250cc dengan enjin empat silinder, kerana kuasanya yang lebih tinggi dan bunyinya yang lebih sedap didengar.
Bagaimanapun model 250cc empat silinder juga mempunyai kelemahannya yang tersendiri, apabila ianya memerlukan penjagaan dan servis yang lebih rapi, serta kos penyelenggaran yang lebih tinggi berbanding model-model 250cc dengan enjin satu silinder dan dua silinder.
Namun begitu tahukah anda bahawa enjin 250cc bukan sahaja terhad kepada empat silinder, malah ianya juga pernah diperkenalkan dengan jumlah enam silinder. Bermula tahun 1964 sehingga 1966, Honda telah memperkenalkan jentera perlumbaan GP dengan enjin 250cc enam silinder, paling popular dan terkenal ialah model RC166.
Honda RC166 diperkenalkan pada tahun 1966 bagi menggantikan model RC165 pada tahun sebelumnya. Spesifikasinya telah dinaiktaraf melalui penggunaan material magnesium dan titanium yang lebih ringan, serta beberapa penambahbaikan lain termasuk rekaan semula casis dan penambahan sistem penyejukan oil cooler.
Hasilnya Honda RC166 yang ditunggang oleh pelumba handalan Mike Hailwood memenangi 10 perlumbaan dari 12 pusingan, termasuk menang 8 pusingan berturut-turut, kecuali dua perlumbaan yang tidak disertai Honda. Ini membolehkan Honda merangkul gelaran juara dan pengeluar dalam perlumbaan Grand Prix tahun tersebut.
Saingan Honda pada ketika itu ialah Yamaha yang menggunakan jentera 250cc dengan enjin dua lejang, dengan merangkul kejuaraan dua tahun berturut-turut pada tahun 1964 dan 1965. Kejayaan Honda pada tahun 1966 telah membuktikan bahawa jentera RC166 yang memiliki enjin 250cc enam silinder sememangnya terbukti luar biasa.
Sayangnya hayat jentera RC166 tidak lama, kerana pada tahun 1967 ianya telah digantikan dengan jentera RC174 yang menggunakan enjin 297.06cc enam silinder. Kini selepas lebih 50 tahun berlalu, tidak ada pengeluar yang berani menghasilkan motosikal dengan enjin 250cc enam silinder untuk jualan semasa.
1966 Honda RC166 Spec :
- Engine : 4-Stroke, Inline-6 DOHC 4-Valve Gear Train, Oil-cooled
- Displacement : 249.42cc
- Transmission : 7-speed Transmission
- Maximum Output : over 60PS / 18,000 rpm
- Maximum Speed : over 240 km/h
- Weight : 112kg