Honda perkenal Super Cub 50 dan Super Cub 110 edisi “Weather Child” di pasaran Jepun

Honda di pasaran Jepun baru-baru ini telah memperkenalkan model Super Cub 50 dan Super Cub 110 edisi “Weather Child”, dalam warna “Summer Pink” yang eksklusif. Antara perincian pada model tersebut termasuklah tempat duduk berwarna coklat dan terdapat pelekat istimewa “Weather Child” di atas penghadang kaki di sebelah dalam.

Honda Super Cub 50 dan Super Cub 110 “Weather Child” merupakan edisi istimewa yang dikeluarkan sempena kemunculan model berkenaan di dalam filem animasi popular yang berjudul “Tenki no Ko”, atau “Weathering With You” untuk pasaran luar negara. Filem animasi tersebut telah berjaya mencatatkan kutipan tiket box office sewaktu ditayangkan di Jepun dan juga di 140 buah negara lain pada tahun 2019.

Kehadiran motosikal Honda Super Cub di dalam filem animasi tersebut seterusnya telah mencetuskan minat di kalangan para peminat motosikal Honda, termasuklah di kalangan peminat filem itu sendiri. Menurut Honda, warna yang digunakan pada badan motosikal itu mendapat pengawasan dan input daripada jawatankuasa pengeluar filem “Tenki no Ko” bagi memastikan hasilnya adalah sama seperti di dalam filem.

Harga yang ditawarkan untuk kedua-dua model Super Cub 50 dan Super Cub 110 edisi “Weather Child” masing-masing adalah sebanyak 269,500 Yen dan 313,500 Yen, bersamaan RM 10,692.59 dan RM 12,438.32 mengikut kadar tukaran semasa. Kedua-dua model istimewa berkenaan kini boleh didapati di pasaran domestik Jepun mulai 23hb. Julai 2020 dalam tempoh terhad, melalui pusat jualan HondaGO BIKE RENTAL.

(Visited 89 times, 1 visits today)