Ducati baru-baru ini telah memperkenalkan skim warna baharu “GP White” untuk model kembara Ducati Multistrada 950 S 2021. Skim warna baharu tersebut diinspirasikan daripada grafik Ducati MotoGP berasaskan warna putih dan kelabu, dengan sentuhan warna Ducati Red di bahagian kerangka dan melalui grafik pada rim aloi.
Dengan pengenalan warna baharu “GP White”, Ducati Multistrada 950 S model tahun 2021 kini hadir dalam dua pilihan warna bersama-sama warna klasik Ducati Red. Menurut Ducati lagi, model tersebut akan berada di pasaran Eropah mulai bulan Julai ini, dalam dua versi iaitu dengan rim aloi dan juga dengan rim jenis berjejari.
Ducati Multistrada 950 S dikuasakan enjin Testastretta 11° bersesaran 937cc dan dipadankan transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa yang dihasilkan mencapai 113hp @ 9,000rpm dengan tork puncak 96Nm @ 7,750rpm. Mulai tahun 2021, enjin tersebut akan mematuhi piawaian Euro 5 di semua negara yang telah menguatkuasakannya.
Model berkenaan turut dilengkapi pelbagai teknologi yang inovatif, seperti suspensi elektronik dengan sistem Ducati Skyhook Suspension Evo (DSS), Ducati Quick Shift up & down (DQS), lampu depan full-LED dengan Ducati Cornering Lights (DCL), paparan TFT berwarna 5 inci, sistem Hands Free, Cruise Control dan backlit handlebar controls.
Selain itu, ianya juga dilengkapi pek keselamatan Ducati yang merangkumi sistem Bosch Cornering ABS dan Ducati Traction Control (DTC), di samping teknologi Riding Modes, Power Modes dan Vehicle Hold Control (VHC). Untuk perjalanan jarak jauh, Ducati Multistrada 950 S dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti 20 liter.