Ketika ini di pasaran Malaysia, Yamaha RX-Z telah pun menjadi sebuah model motosikal yang bertaraf legenda. Diperkenalkan sejak tahun 1985 sehingga ke pengeluaran terakhir pada tahun 2011, model berkenaan sehingga kini masih mempunyai ramai peminat yang terus setia menggunakannya pada setiap hari.
Berdasarkan fakta sejarah, generasi terakhir Yamaha RX-Z di pasaran tempatan ialah model RX-Z with Catalyzer, atau ringkasannya lebih dikenali dengan nama RX-Z Catalyzer. Beberapa sumber mengatakan model tersebut diperkenalkan pada tahun 2004, namun yang sebenarnya ia telah berada di pasaran tempatan sejak 2003 lagi.
Maklumat tersebut diperolehi melalui siaran akhbar yang diterbitkan oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) pada bulan Jun 2003, yang disertai dengan paparan brosur seperti mana yang dapat dilihat dalam galeri di bawah. Pada awalnya, Yamaha RX-Z Catalyzer diperkenalkan dalam dua pilihan warna iaitu Merah dan Kuning.
Ciri-ciri utama Yamaha RX-Z Catalyzer ini ialah reka bentuk kowling badan depan dengan lampu signal serba baharu, panel meter yang direka semula, rekaan lampu belakang baharu yang menyerupai lampu belakang Yamaha 125ZR, pemegang tempat duduk belakang aluminium, dan sistem ekzos dengan pemangkin asap (catalyzer).
Sistem pemangkin asap pada model RX-Z Catalyzer diperkenalkan untuk mengurangkan pengeluaran asap dan gas-gas yang bertoksid, seterusnya menjadikannya lebih mesra alam. Tambahan pula pada ketika itu piawaian pelepasan emisi kenderaan semakin ketat dan motosikal dua lejang tidak terkecuali.
Beralih ke bahagian spesifikasi enjin, Yamaha RX-Z Catalyzer masih dilengkapi enjin dua lejang bersesaran 133cc, yang kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan adalah sebanyak 20PS @ 8,500rpm, manakala tork maksimumnya mencecah 18.14Nm (1.85 kgfm) @ 7,500rpm.
Yamaha RX-Z Catalyzer dibekalkan tangki bahan api dengan isian penuh 13 liter, manakala berat kering motosikal hanya 106 kg. Sistem brek kekal tidak berubah, masih dilengkapi sistem brek depan jenis cakera dan belakang jenis gelendong. Yang pasti, penampilan keseluruhan Yamaha RX-Z Catalyzer diakui semakin bergaya dan sporty.
Harga jualannya pula ditetapkan sebanyak RM 7,172.82 (Total On-The-Road), boleh dikatakan masih lagi berpatutan berbanding harga untuk sesetengah unit terpakai yang dijual di pasaran tempatan pada ketika ini. Sebelum ini terdengar ura-ura bahawa HLYM akan mengeluarkan kembali RX-Z, namun sehingga kini belum menjadi kenyataan.
Artikel berkaitan :
- Yamaha RX-Z 135 Catalyzer model tahun 2011, dijual pada harga asas RM 7,504.00 sahaja
- Harga terkini Yamaha 125ZR NOS 2020, RM 14k – RM 20k