Suzuki Satria F150 FI 2020 dijual di pasaran Vietnam

Suzuki Belang R150 pernah ditawarkan di pasaran Malaysia suatu ketika dahulu, namun kurang mendapat sambutan. Namun begitu jangan cepat salah sangka, model moped dengan gaya naked itu tetap diminati ramai di pasaran negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti di pasaran Indonesia, Thailand, Vietnam dan juga Filipina.

Di pasaran Indonesia, ianya dikenali dengan nama Suzuki Satria F150, manakala di pasaran Thailand, Vietnam dan Filipina, nama yang diberikan ialah Suzuki Raider R150 FI. Ketika ini model berkenaan merupakan generasi paling baharu yang tampil dengan rekaan yang lebih sporty dan segar, bersama-sama teknologi yang lebih canggih.

Melalui artikel kali ini, apa yang hendak diceritakan ialah mengenai kehadiran Suzuki Satria F150 FI model tahun 2020 yang dijual di pasaran Vietnam sejak awal tahun ini. Situasi tersebut sebenarnya dirasakan agak pelik kerana pasaran Vietnam sememangnya telah lama menawarkan model yang sama iaitu Suzuki Raider R150 FI.

Berdasarkan pemerhatian di dalam laman sesawang Suzuki Vietnam, perbezaan di antara Satria F150 FI dan Raider R150 FI hanyalah dari segi pemilihan warna sahaja. Spesifikasi teknikal lain kelihatan sama, masing-masing dikuasakan enjin empat lejang sejukan cecair 147.3cc DOHC, empat injap, dengan sistem suntikan bahan api (FI).

Harga yang ditawarkan bagaimanapun berbeza, di mana Suzuki Satria F150 FI dijual pada harga 51,990,000 VND, bersamaan RM 9,594.36 mengikut kadar tukaran semasa. Untuk model Suzuki Raider R150 FI yang didatangkan dalam dua varian, masing-masing dijual pada harga sebanyak 49,190,000 VND dan 49,990,000 VND.

Harga yang lebih mahal untuk Suzuki Satria F150 FI mungkin disebabkan statusnya sebagai model CBU yang diimport dari Indonesia, manakala Suzuki Raider R150 FI merupakan produk pemasangan tempatan (CKD) di Vietnam. Selain itu, Satria F150 FI yang dijual di pasaran Vietnam didatangkan dengan ciri lampu signal jenis terpisah, berbanding di pasaran Indonesia yang dilengkapi lampu signal jenis bersepadu.

Suzuki Satria F150 FI di pasaran Vietnam juga dilengkapi butang penghidup dan pemati lampu depan, kerana peruntukan undang-undang di negara tersebut yang melarang lampu depan dibuka pada waktu siang di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan.

Baru-baru ini terdengar berita bahawa syarikat Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. bakal ditutup, dan pihak pengurusan baharu Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. (SMSB) akan mengambil alih perniagaan motosikal Suzuki pada masa depan. Jika benar, mungkinkah ada harapan Suzuki Belang R150 2020 akan dilancarkan semula?