Untuk pasaran China, Benelli secara rasminya melancarkan model sportbike Benelli 302R model tahun 2020 terbaharu, pada harga 32,800 Yuan yang bersamaan RM 19,815.59 mengikut kadar tukaran semasa. Bagaimanapun sekali pandang dari sudut rekaan, tiada perbezaan untuk model terbaharu ini berbanding model sebelumnya.
Benelli 302R 2020 juga masih mengekalkan enjin dua silinder 300cc DOHC yang sama dengan sistem penyejukan cecair, menghasilkan kuasa maksimum sehingga 35hp (26kW) @ 12,000rpm dengan tork 27Nm @ 9,000rpm. Enjin tersebut seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan. Memiliki tangki bahan api 14 liter dan berat 204 kg, model tersebut mampu melakukan pecutan maksimum sehingga 170 km/j.
Di bahagian suspensi, Benelli 302R 2020 menggabungkan fork depan upside-down dengan suspensi belakang monoshock, sementara untuk pemberhentian yang lebih cekap dan selamat, ianya dilengkapi sistem brek cakera dengan ABS. Tayar depan dan belakang masing-masing didatangkan dalam siri 110/70-R17 dan 150/60-R17.
Antara perubahan paling ketara untuk Benelli 302R 2020 terbaharu ini dapat dilihat pada rekaan kusyen belakang yang sedikit tinggi, di samping penampilan warna dan grafik yang sporty dan menawan. Empat pilihan warna ditawarkan iaitu merah, putih, hijau dan biru, di samping terdapat pelekat grafik yang tertulis perkataan Anniversary.