Mungkin ramai yang sudah melupakan kehadiran model Suzuki Shogun 125 Sports di pasaran Malaysia suatu ketika dahulu. Berdasarkan sedikit sebanyak maklumat yang ada, model tersebut dilancarkan secara rasmi dalam bulan September 2005. Jualannya bertahan sehingga tahun 2008 sebelum digantikan dengan model Suzuki Shogun 125RR (versi klac automatik) dan Suzuki Shogun 125SP (versi klac tangan).
Suzuki Shogun 125 Sports dilengkapi enjin bersesaran 124.1cc (4-lejang, sejukan udara, SOHC) dengan sistem penyampaian bahan api jenis karburator, manakala sistem transmisinya ialah empat kelajuan jenis berputar (rotary) dengan klac automatik. Dua varian ditawarkan iaitu varian KS yang dilengkapi sistem penghidup jenis tendang, manakala varian ES dilengkapi sistem penghidup jenis tendang dan juga elektrik. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 4.5 liter.
Antara ciri-ciri menarik yang ditawarkan oleh Suzuki Shogun 125 Sports ini termasuklah enjinnya yang berkuasa, lampu depan yang besar dan canggih, ruang simpanan di bawah tempat duduk yang luas sehingga 10.3 liter, penapis minyak enjin jenis katrij, muffler ekzos bergaya sport, brek cakera depan yang mantap, dan empat pilihan warna yang menarik dengan rekaan grafik berupa garis-garis aerodinamik yang bergaya.
Ketika ini dalam arena permotoran tempatan, kelibat motosikal kapcai dan moped berjenama Suzuki semakin sukar dilihat, sama seperti nasib yang dialami oleh model Suzuki Shogun 125 Sports ini. Apa yang diharapkan suatu hari nanti, model-model kapcai dan moped keluaran terbaharu Suzuki akan kembali diperkenalkan, demi memeriahkan kembali dunia permotoran tempatan seperti sebelum ini.