Honda 400X 2020 terima kemaskini warna baharu

Untuk pasaran domestik Jepun, Honda pada dua hari yang lepas telah mengumumkan kemaskini warna baharu untuk model kembara Honda 400X. Model tersebut akan berada di pasaran secara rasmi mulai tarikh 31hb. Julai 2020 akan datang, dalam dua pilihan warna yang menarik iaitu Pearl Glare White dan Matte Ballistic Black Metallic.

Untuk makluman, warna Pearl Glare White telah menggantikan warna terdahulu Grand Prix Red. Bagi warna Matte Ballistic Black Metallic pula, ianya merupakan pilihan warna terdahulu dari tahun 2019, namun kali ini tampil dengan kemaskini grafik berwarna merah di bahagian cowl depan dan luaran tangki minyak. Warna rel tempat duduk juga telah diubah kepada merah untuk memberikan kesan yang lebih kuat dan aktif.

Honda 400X 2020 masih dikuasakan enjin bersesaran 399cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, inline 2-cylinder) yang dilengkapi sistem suntikan bahan api PGM-FI, seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan. Untuk tunggangan yang lebih mudah, ianya turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai angka 46PS @ 9,000rpm dengan tork puncak 38Nm @ 7,500rpm.

Honda 400X mempunyai tangki bahan api dengan isian penuh 17 liter, ketinggian tempat duduk 800 mm, jarak kelegaan bumi minimum 150 mm, dan berat 196 kg. Untuk keselesaan tunggangan, ianya dilengkapi fork depan jenis teleskopik dengan ciri prabeban boleh laras, manakala sistem brek ABS melengkapkan ciri keselamatannya.

Ciri-ciri lain yang menjadikan penampilan Honda 400X ini lebih menarik dan praktikal antaranya ialah kehadiran sistem lampu LED sepenuhnya, panel instrumen digital dengan paparan pelbagai informasi, sistem Emergency Stop Signal, dan termasuklah rekaan rim roda aluminium ringan yang menyumbang kepada pengendalian tangkas.

Untuk pasaran domestik Jepun, Honda 400X model tahun 2020 terbaharu ditawarkan pada harga 826,100 Yen, bersamaan RM 33,063.26 mengikut kadar tukaran semasa. Untuk pasaran Malaysia, Boon Siew Honda telah menawarkan model Honda CB500X ABS 2019 pada harga asas RM 36,099.00, yang diperkenalkan pada Jun tahun lepas.

Galeri : Honda 400X Model Year 2020 (Japan)

Galeri : Honda 400X Model Year 2019 (Japan)