Jika anda merupakan peminat motosikal moped dengan enjin dua lejang, pilihan yang ada di pasaran tempatan ketika ini hanyalah dua model sahaja iaitu Yamaha 125ZR dan Modenas Dinamik 120. Kedua-dua model tersebut tidak lagi dikeluarkan dari kilang, sebaliknya merupakan stok lama yang masih lagi dijual dalam jumlah terhad.
Bagaimanapun mungkin ramai yang tidak mampu untuk memiliki Yamaha 125ZR, atau merasakan pembelian model tersebut tidak lagi berbaloi kerana harga yang ditawarkan ketika ini mencecah RM 20,000.00. Jadi pilihan seterusnya ialah Modenas Dinamik 120 yang ketika ini ditawarkan pada harga sekitar RM 6,000.00 sehingga RM 7,000.00.
Berbanding unit Yamaha 125ZR yang ketika ini sangat terhad dan bakal kehabisan di pasaran pada bila-bila masa sahaja, Modenas Dinamik 120 masih mempunyai jumlah stok yang banyak di kedai-kedai menjual motosikal terutamanya di kawasan utara. Harganya juga masih lagi berpatutan dan berbaloi dengan spesifikasi yang ditawarkan.
Berdasarkan pemerhatian, Modenas Dinamik 120 yang masih berada di pasaran ketika ini tersedia dalam empat pilihan warna iaitu merah, kuning, oren dan biru. Bagi pilihan warna merah dan kuning, ianya mula diperkenalkan di pasaran tempatan sejak tahun 2015, manakala pilihan warna oren dan biru diperkenalkan sejak tahun 2017.
Modenas Dinamik 120 dikuasakan enjin dua lejang satu silinder bersesaran 118cc, dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Enjin tersebut dilengkapi sistem penyejukan udara, sistem penyampaian bahan api jenis karburator dan sistem penghidup jenis tendang. Tangki bahan apinya hadir dengan isian penuh 4.6 liter.
Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 16.8hp (12.5kW) @ 9,000rpm, bersama-sama jumlah tork sebanyak 14.1Nm @ 8,000rpm. Jadi kepada anda yang mungkin masih mahu memiliki unit baharu motosikal moped dua lejang, Modenas Dinamik 120 ini merupakan satu-satunya pilihan tepat, sebelum kehabisan stok.