Kawasaki Ninja ZX-25R rasmi dilancarkan secara online pada tarikh 10hb. Julai 2020 (Jumaat)

Saluran YouTube Kawasaki Motor Indonesia hari ini telah menyiarkan video terkini aksi Kawasaki Ninja ZX-25R KRT Edition dan Kawasaki Ninja ZX-25R Custom Carbon Edition, di Litar Antarabangsa Sentul Indonesia. Menariknya pada penghujung video tersebut, kini telah disahkan secara rasmi tarikh pelancaran untuk model berkenaan.

Menurut Kawasaki Motor Indonesia, pelancaran rasmi Kawasaki Ninja ZX-25R yang ditunggu-tunggu ini akan berlangsung pada tarikh 10hb. Julai 2020 (Jumaat), secara live di saluran YouTube Kawasaki Motor Indonesia, bermula jam 3.00 petang (WIB). Perkara ini dapat difahami kerana pandemik Covid 19 yang masih belum berakhir.

Buat masa ini, pasaran Indonesia merupakan yang pertama akan menerima kehadiran model Kawasaki Ninja ZX-25R yang dilengkapi enjin 250cc empat silinder, yang kemudiannya akan diikuti oleh pasaran Jepun. Berdasarkan maklumat terkini, Ninja ZX-25R akan ditawarkan dalam beberapa varian dengan tanda harga yang berbeza.

Pilihan warna yang setakat ini telah disahkan ialah KRT Edition dan warna Hitam, dan dipercayai beberapa pilihan warna lain akan turut ditawarkan berdasarkan varian. Berkenaan harga pula, ianya masih belum dapat dipastikan, namun dijangkakan harganya akan bermula dari paras RM 30,000.00 dan ke atas. Sama-sama kita tunggu.