Pada tahun 2008, Modenas Kriss 120 Sports diperkenalkan

Bermula tahun 2007, siri Modenas Kriss telah menerima pembaharuan ketara apabila dilancarkan dengan enjin bersesaran 120cc. Dikenali dengan nama Modenas Kriss 120, varian tersebut dilengkapi sistem penghidup jenis tendang, rim roda jenis berjejari, sistem brek dram di bahagian roda depan, di samping lima pilihan warna yang menarik.

Pada tahun 2008, Modenas telah menambah tiga lagi varian untuk Modenas Kriss 120, iaitu varian Kriss 120E/F, Kriss 120R Sports dan Kriss 120H Sports. Berbanding Modenas Kriss 120, varian Kriss 120E/F hanya menerima tambahan sistem penghidup jenis elektrik sahaja, manakala spesifikasi yang lain masih kekal sama.

Bagaimanapun bagi varian Kriss 120R Sports dan Kriss 120H Sports, kedua-dua model tersebut didatangkan dengan ciri-ciri yang lebih menarik seperti rim aloi enam bilah yang sporty, sistem brek cakera di bahagian roda depan, pengadang angin yang unik dan sporty, skrin penyalur udara di kiri dan kanan sebagai penambah gaya, dan penutup hadapan yang aerodinamik. Perbezaan di antara kedua-dua varian tersebut ialah Kriss 120R Sports hanya dilengkapi sistem penghidup jenis tendang, manakala Kriss 120H Sports dilengkapi kedua-duanya sekali, penghidup tendang dan elektrik.

Modenas Kriss 120H Sports dilengkapi enjin bersesaran 120cc yang dipadankan transmisi empat kelajuan (4-speed Rotary), menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 9.8hp (7.3kW) @ 8,500rpm dengan tork 9.1Nm @ 4,000rpm. Enjin empat lejang satu silinder SOHC itu mempunyai sistem penyejukan udara dan sistem penyampaian bahan api karburator, manakala tangki bahan apinya hadir dengan isian penuh 4.3 liter.

Sewaktu diperkenalkan pada tahun 2008, Modenas Kriss 120H Sports boleh didapati dalam tiga pilihan warna yang menarik yang dikenali dengan nama Merah Gaya (Celebration Red),  Putih Awan (Kobuko White) dan Hijau Alam (Tropica Peace Green). Harga yang ditawarkan adalah sebanyak RM 4,724.75 (harga OTR yang dicadangkan).