Mungkinkah Honda CBR400RR dengan enjin 4-silinder akan muncul semula?

1994 Honda CBR400RR

Majalah permotoran terkenal Young Machine versi cetak untuk bulan Ogos 2020 telah pun diterbitkan pada hari ini, Rabu, 24hb. Jun 2020. Antara perkara menarik yang diketengahkan kali ini ialah mengenai kemungkinan pihak Honda akan memperkenalkan kembali model Honda CBR400RR dengan enjin empat silinder.

Berdasarkan sejarah terdahulu pada tahun 1986, Honda CBR400R telah diperkenalkan dengan enjin empat silinder yang bersesaran 399cc. Kemudiannya bagi model keluaran tahun 1988 sehinggalah ke model terakhir yang dijual di pasaran domestik Jepun pada tahun 1994, ianya dikenali dengan nama Honda CBR400RR.

Honda CBR400RR model tahun 1994 dilengkapi enjin empat lejang bersesaran 399cc dengan ciri empat silinder, DOHC, empat injap dan sistem penyejukan cecair. Enjin tersebut yang dipadankan transmisi enam kelajuan telah menghasilkan kuasa maksimum 53PS @ 13,000rpm dengan tork maksimum 35.3Nm @ 10,000rpm.

Setelah tamatnya pengeluaran Honda CBR400RR dengan enjin empat silinder, pada tahun 2013, Honda telah melancarkan kembali model Honda CBR400R serba baharu untuk pasaran domestik Jepun, namun model tersebut dilengkapi enjin 399cc yang mempunyai hanya dua silinder (46PS @ 9,500rpm & 37Nm @ 7,500rpm).

Ketika ini di pasaran Jepun, Honda menawarkan model CB400 Super Four 2020 yang memiliki enjin empat silinder 399cc, yang menghasilkan kuasa maksimum 56PS @ 11,000rpm dengan tork 39Nm @ 9,500rpm. Ini bermakna jika benar Honda akan memperkenalkan kembali model CBR400RR, ianya bukanlah suatu masalah besar.

Cuma apa yang menjadi persoalannya ialah kenapa pula perlu untuk Honda memperkenalkan kembali model CBR400RR dengan enjin empat silinder pada era ini?Sedangkan khabar angin sebelum ini menyebut bahawa syarikat tersebut sedang merancang untuk membangunkan model CBR250RR-R dengan enjin empat silinder.

Apa pun ini hanyalah ramalan awal daripada pihak Young Machine. Tidak mungkin pihak Honda akan melancarkan model Honda CBR400RR serba baharu untuk bersaing dengan model Kawasaki Ninja ZX-25R. Hanya model Honda CBR250RR-R sahaja yang sesuai untuk bersaing dengan Ninja ZX-25R kerana kelas enjin yang sama.

(Visited 1,055 times, 1 visits today)