Pada tahun 2006, Modenas Kriss 110 SE diperkenalkan di pasaran tempatan

Modenas Kriss 110 merupakan produk pertama keluaran syarikat pengeluar motosikal tempatan Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas). Dilancarkan dalam tahun 1996, model berkenaan menjadi popular dan berjaya mencatatkan jumlah jualan yang sangat baik mengatasi model-model lain yang menjadi pesaingnya pada ketika itu.

Sepanjang hayatnya, siri Modenas Kriss terus berkembang dengan pengenalan model-model lain antaranya seperti Kriss 2, Kriss SG, Kriss 100, Kriss 110 SE, Kriss 120 dan Kriss MR1. Menurut maklumat dari Wikipedia, pada tahun 2005, semua varian Kriss 110 telah dihentikan pengeluarannya bagi memberi laluan kepada pengeluaran model terbaharu Modenas Kristar, meninggalkan hanya model Kriss 100 sahaja sebagai varian tunggal dalam siri Kriss di pasaran tempatan.

Bagaimanapun atas permintaan ramai, pada Ogos 2006, Modenas telah mengeluarkan kembali model Modenas Kriss 110, dengan diberi nama baharu sebagai Modenas Kriss 110 SE (Second Edition). Ketika itu jualan model Modenas Kristar di pasaran tempatan dikatakan tidak memberangsangkan dan kurang berjaya menarik perhatian pembeli.

Modenas Kriss 110 SE tampil dengan beberapa ciri yang menarik antaranya seperti lampu hadapan kristal, lampu belakang yang bergaya, terang dan jelas, reka bentuk odometer yang canggih dan unik dengan paparan yang lebih jelas, rekaan grafik yang moden dan penampilan sport rim yang bergaya dan sporty.

Spesifikasi enjin bagaimanapun masih sama seperti model sebelumnya Modenas Kriss 110, apabila ianya dilengkapi enjin bersesaran 111cc yang dipadankan transmisi empat kelajuan. Jumlah kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 6.6kW @ 8,500rpm dengan tork 9.3Nm @ 4,000rpm. Sistem brek juga masih sama apabila mengekalkan brek jenis gelendong di bahagian depan dan belakangnya.

Harga yang ditawarkan untuk Modenas Kriss 110 SE 2006 adalah sebanyak RM 3,938.50 (harga On The Road yang disyorkan). Pilihan warna yang boleh didapati pula ialah merah dan biru. Sehingga kini, siri Modenas Kriss masih terus diingati sebagai sebuah model motosikal yang menjadi ikon rakyat Malaysia, dengan versi terkininya ialah Modenas Kriss 110 2019 yang dilancarkan pada September tahun lepas.

(Visited 1,431 times, 4 visits today)