Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) kelmarin telah memperkenalkan pilihan dua warna baharu Reddish Copper dan Midnight Silver, untuk model kembara Yamaha Tracer 900GT 2020. Harga yang ditawarkan pula masih sama seperti sebelumnya iaitu sebanyak RM 58,888.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.
Yamaha Tracer 900GT dilengkapi enjin bersesaran 847cc (3-Cylinder, Liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-Valves) yang dipadankan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa maksimum 115PS @ 10,000rpm dan tork 87.5Nm @ 8,500rpm. Tangki petrolnya mempunyai kapasiti penuh 18 liter untuk perjalanan jarak jauh tanpa sebarang masalah.
Melengkapkan lagi spesifikasinya, ianya dibekalkan teknologi Assist & Slipper Clutch dan Quick Shift System untuk tunggangan yang lebih mudah dan pantas, suspensi depan boleh laras sepenuhnya, suspensi belakang dengan ciri pelarasan prabeban, paparan panel instrumen TFT dengan pelbagai informasi dan ciri kawalan, grip dengan pemanas dan skrin penghadang angin dengan ciri perlindungan yang dipertingkatkan.
Tidak dilupakan ialah soket pegecasan 12V dan tapak pemasangan sidecase bersepadu, menjadikannya sesuai bukan saja untuk tunggangan harian, malah untuk menikmati perjalanan pada waktu hujung minggu yang menyeronokkan. Menurut HLYM, Yamaha Tracer 900GT 2020 kini boleh didapati di bilik pameran yang bertauliah.