Web Analytics
Suzuki Smash Revo model tahun 2007 di pasaran Malaysia – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Suzuki Smash Revo model tahun 2007 di pasaran Malaysia

Sekitar tahun 2007, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. masih lagi aktif menjual pelbagai model kapcai di pasaran tempatan. Salah sebuah model yang ditawarkan ketika itu ialah Suzuki Smash Revo yang dilengkapi enjin bersesaran 109.7cc (4-stroke, Air-cooled, SOHC), dengan padanan transmisi empat kelajuan jenis berputar.

Sebagai sebuah model kapcai berperwatakan sederhana, Suzuki Smash Revo model tahun 2007 dilengkapi sistem gear dan klac automatik, sistem penyampaian bahan api jenis karburator, tangki petrol dengan isian maksimum 4.3 liter, sistem penghidup tendang dan elektrik, serta berat bersih motosikal hanya 95 kilogram.

Sistem suspensi Suzuki Smash Revo terdiri daripada sepasang fork depan jenis teleskopik, yang kemudiannya digandingkan dengan suspensi belakang konvensional jenis berkembar. Sementara itu, sistem brek cakera di bahagian depan dengan diameter 220 mm membolehkan penunggang membrek dengan lebih berkesan.

Antara kelebihan model kapcai ini menurut pengeluarnya ialah enjinnya yang berkuasa, menjimatkan dan mesra alam, lampu isyarat depan yang disepadukan dengan penghadang hadapan bagi memberikan imej lebih anggun dan sporty, lampu kombinasi belakang yang kemas dan jelas dilihat, ruang simpanan di bawah tempat duduk seluas 8 liter, dan peredam bunyi sporty yang mengukuhkan lagi ciri-cirinya yang bergaya.

Suzuki Smash Revo 2007 ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu SZ Blue / Sparking Black dan Autumn Red / Sparking Black. Untuk maklumat lebih lanjut atau untuk mendapatkan gambaran sebenar model yang telah tiada di pasaran dan agak sukar didapati di jalan raya ini, anda boleh melihat paparan brosurnya dalam galeri di bawah.

 
Arena Motosikal © 2023