Superbike Petronas FP1 sama ada dalam versi jentera perlumbaan atau versi jalanan, telah pun hampir dilupakan oleh peminat dunia permotoran tempatan. Pengeluaran model tersebut bermula pada tahun 2003, dan pada tahun yang sama telah menyertai perlumbaan SBK (Superbike World Championship) sehingga tahun 2006.
Salah satu syarat untuk menyertai perlumbaan SBK, Petronas perlu mengeluarkan FP1 dalam versi jalanan sebanyak 150 unit untuk homologasi FIM, dan sesaran enjinnya dikurangkan dari 989cc kepada 899.5cc. Pengeluaran fasa pertama sebanyak 75 unit telah dilakukan di United Kingdom, manakala baki sebanyak 75 unit lagi dikeluarkan oleh Modenas melalui pemasangan di kilang mereka yang terletak di Gurun, Kedah.
Sebelum itu pada tarikh 28hb. April 2003, PETRONAS Technical Services Sdn Bhd (PTS) secara rasminya telah melantik Modenas untuk memasang superbike Petronas FP1 versi jalanan (road version). Majlis penandatanganan ringkas mengenai perjanjinan tersebut telah diadakan di Menara Berkembar Petronas. Menurut laporan, pengeluaran Petronas FP1 oleh Modenas bermula pada bulan Julai 2003.
Selepas Petronas menarik diri dari perlumbaan SBK setelah berakhirnya musim 2006 yang mengecewakan, berita mengenai superbike Petronas FP1 perlahan-lahan kian dilupakan. Namun pada tahun 2010, telah berlaku kejutan apabila sebanyak 60 unit jentera berkenaan telah ditemui oleh Motor Cycle News dalam keadaan baharu, tersimpan di dalam stor di Basildon, Essex, Unite Kingdom (sumber dari Wikipedia).
Akhirnya pada tahun 2011, syarikat tempatan Momoto Sdn. Bhd. telah merancang untuk mengeluarkan kembali Petronas FP1 melalui baki sedia ada berjumlah 129 unit, untuk dijenamakan semula kepada nama baharu Momoto MM1. Tapi entah bagaimana pada tahun 2013, berlaku pertikaian melibatkan undang-undang di antara Momoto dan Petronas, dan Arena Motosikal tidak boleh memperincikannya di dalam artikel ini.
Bagaimanapun pada tahun 2016, pengurusan baharu Momoto dilaporkan telah menawarkan semula superbike MM1 di pasaran tempatan, pada harga RM 85,000.00 dalam jumlah terhad (sumber dari Paultan.org). Selepas itu, tiada lagi laporan terkini mengenainya, dan berapa unitkah yang telah terjual? Petronas FP1 dan Momoto MM1 bukan hanya sekadar motosikal, sebaliknya sebahagian daripada sejarah Malaysia.