Sejak tahun lepas, dunia permotoran telah dimaklumkan laporan mengenai Yamaha yang dikatakan telah mempatenkan teknologi enjin turbo terkini untuk dilengkapkan kepada model-model terbaharu keluarannya pada masa akan datang.
Ketika ini model motosikal yang dilengkapi enjin dengan teknologi induksi paksaan yang ditawarkan di pasaran ialah Kawasaki H2. Dilengkapi Balanced Supercharged Engine, jentera hyper naked tersebut mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 200PS @ 11,000rpm dengan tork puncak 137Nm @ 8,500rpm.
Oleh itu sementara menunggu ketibaan model terbaharu Yamaha dengan kelengkapan enjin turbo yang berkuasa, kita imbas kembali model turbo pertama Yamaha yang pernah berada di pasaran suatu ketika dahulu – Yamaha XJ650 Turbo keluaran tahun 1982. Model tersebut hanya dikeluarkan sehingga tahun 1983 sahaja.
Menurut pengeluarnya, Yamaha XJ650 Turbo merupakan model pertama di dunia yang dilengkapi enjin karburator dengan sistem turbo (653cc, turbocharged, air-cooled, 4-stroke, DOHC, 2-valve, in-line 4-cylinder). Kuasa yang dihasilkan oleh model tersebut mencecah 85PS @ 5,000 – 8,000rpm dengan tork 73.6Nm @ 5,000 – 8,000rpm.
Berdasarkan maklumat yang ada, antara varian yang diperkenalkan ialah Yamaha XJ650 Turbo untuk pasaran Eropah dan Yamaha XJ650 Seca Turbo untuk pasaran USA. Melalui pemerhatian, perbezaan XJ650 versi Seca Turbo dapat dilihat melalui lencana Seca Turbo yang dilekatkan pada bahagian sisi badannya.
Setakat ini dijangkakan model terbaharu Yamaha dengan enjin turbo yang lebih canggih akan mengambil masa beberapa tahun lagi untuk berada di pasaran. Antara cabaran utama yang dihadapi ialah untuk mematuhi piawaian emisi yang semakin ketat.
Galeri : 1982 Yamaha XJ650 Turbo
Galeri : 1982 Yamaha XJ650 Seca Turbo