Spesifikasi lengkap model terbaharu QJ SRK 600 / Benelli TNT 600i

Baru-baru ini QJ Motor secara rasminya telah memperkenalkan model terbaharu QJ SRK 600 untuk pasaran negara China. Oleh kerana QJ Motor dan Benelli sama-sama berada di bawah syarikat Zhejiang Qianjiang Motorcycle Group Co., model tersebut dikatakan akan dikenali dengan nama Benelli TNT 600i untuk pasaran luar China.

Berdasarkan maklumat terbaharu daripada QJ Motor sempena pameran SRK 600 di acara Canton Fair (The 127th Canton Fair) yang ketika ini sedang berlangsung dari 15 sehingga 24 Jun 2020, model naked berkenaan bakal di bawa masuk ke banyak pasaran di benua Asia, Eropah, Afrika, Amerika Utara dan juga Amerika Selatan.

Pada masa yang sama, QJ Motor juga telah menyiarkan beberapa keping paparan brosur mengenai SRK 600, kali ini di dalam bahasa Inggeris yang lebih mudah difahami berbanding maklumat terdahulu di dalam bahasa Cina. Paparan brosur tersebut boleh dilihat di dalam galeri di bawah. Sila klik setiap gambar untuk paparan lebih besar.

Sebagai ulangan, QJ SRK 600 atau Benelli TNT 600i model tahun 2020 terbaharu ini dilengkapi enjin 600cc empat silinder dengan kuasa maksimum 81.6PS (60kW) @ 11,000rpm dan tork 55Nm @ 8,000rpm. Enjin tersebut dilengkapi sistem penyejukan cecair, sistem EFI, transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch.