Jika anda mengikuti perkembangan semasa pasukan MotoGP Petronas Yamaha SRT (Sepang Racing Team) walaupun berada dalam tempoh kuarantin akibat pandemik Covid-19, pastinya anda tahu mengenai hasrat pasukan tersebut untuk mendapatkan pelumba legenda Valentino Rossi untuk bergandingan dengan Franco Morbidelli.
Setakat laporan ini ditulis, bos pasukan Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali dilaporkan berkata rundingan di antara beliau dan Rossi mengenai perjanjian terbabit menampakkan petanda positif dan mungkin dapat dimuktamadkan sebelum bermula musim 2020 (sumber daripada Harian Metro, bertarikh 10hb. Jun 2020).
Prestasi Rossi ketika ini mungkin tidak sama seperti di zaman puncaknya dulu, namun beliau masih lagi mampu mendapatkan kedudukan antara yang terbaik bagi beberapa musim kejuaraan yang lepas. Sekurang-kurangnya Rossi merupakan nama besar dan diyakini mampu mempromosikan jenama Petronas ke peringkat yang lebih tinggi.
Perkembangan ini juga mengingatkan kita semua kepada musim perlumbaan tahun 2009 dan 2010, yang mana pada ketika itu Rossi menunggang jentera Yamaha YZR-M1 bersama-sama pasukan MotoGP Fiat Yamaha Team. Petronas pula pada ketika itu merupakan antara penaja utama untuk pasukan berkenaan, dengan perjanjian selama tiga tahun (2009 – 2011) untuk pasukan kilang Yamaha.
Bagi perlumbaan musim 2009, Rossi berjaya menjadi juara dengan mengumpul 306 mata keseluruhan. Kejayaan tersebut bukan saja membanggakan pasukan Fiat Yamaha Team, malah juga kepada Petronas yang terbukti berjaya membantu jentera Rossi menamatkan perlumbaan sehingga ke garisan penamat dengan cemerlang.
Pada tahun 2010 bagi meraikan kejayaan tersebut, Yamaha telah memperkenalkan model Yamaha YZF-R1 Rossi Special Edition, sebagai replika kepada jentera Yamaha YZR-M1 yang ditunggangnya pada musim 2009. Jadi adalah sangat menarik untuk kita melihat gandingan semula di antara Yamaha, Rossi dan Petronas bagi musim 2020 ini, jika rundingan di antara Petronas Yamaha SRT dan Rossi mencapai persetujuan.