Demak Evo Z 125R pernah ditawarkan di pasaran Malaysia, tampil sporty dengan enjin 125cc jenis menegak

Pengeluar motosikal tempatan Demak pernah mewarnai dunia permotoran tanah air suatu ketika dahulu, dengan menawarkan pelbagai jenis model-model motosikal dan skuter pada harga mampu milik. Namun sayangnya jangka hayat Demak di pasaran tempatan tidak lama dan telah berakhir pada pertengahan tahun 2018 yang lalu.

Salah sebuah model motosikal keluaran Demak yang pernah berada di pasaran tempatan sebelum ini ialah Demak Evo Z 125R, dilancarkan secara rasmi dalam bulan November 2015. Model tersebut telah menerima reaksi positif daripada peminat motosikal tempatan kerana reka bentuknya yang sporty mirip model Yamaha 135LC V2.

Antara kelebihan lain model tersebut ialah ianya dikuasakan enjin bersesaran 125cc (4-stroke, Single Cylinder, Vertical Engine, SOHC, Air Forced Cooled / Oil Cooled) yang menawarkan kuasa maksimum 11.5hp @ 9,000rpm dan tork 9.5Nm @ 7,500rpm. Enjin tersebut seterusnya dipadankan dengan transmisi lima kelajuan (1 Down 4 Up) dan klac tangan manual, serta dilengkapi penghidup jenis tendang dan juga elektrik.

Berat kering Demak Evo Z 125R mencapai 125 kg, manakala tangki bahan apinya mempunyai kapasiti isian penuh 4.2 liter. Suspensi depannya terdiri daripada fork teleskopik, manakala di bahagian belakangnya ialah suspensi monoshock Kayaba. Untuk pemberhentian yang lebih cekap, ianya dipasangkan sistem brek cakera di bahagian depan dengan gandingan brek jenis gelendong di bahagian belakang.

Ciri-ciri menarik lain yang dibekalkan untuk Demak Evo Z 125R ialah lampu depan dan belakang jenis projektor, lampu signal depan yang bergaya bersama-sama pemasangan lampu pilot LED, paparan meter digital dengan takometer analog, muffler ekzos besi tahan karat yang bergaya dan pemijak kaki belakang aloi aluminium yang ringan. Tiga pilihan warna menarik ditawarkan iaitu merah, biru dan kuning.

Sewaktu dilancarkan, harga jualan untuk Demak Evo Z 125R ini berada dalam lingkungan RM 5,500.00, namun harga tersebut dipercayai tidak tetap berdasarkan lokasi dan tawaran daripada pihak wakil penjual. Harga tersebut juga dipercayai semakin menurun dan menjadi lebih mampu milik apabila telah lama berada di pasaran.

Ketika ini di dalam laman sesawang Mudah.my, terdapat sebuah unit Demak Evo Z 125R berwarna kuning yang ditawarkan oleh wakil penjual Ee Tiong Motorsports Sdn. Bhd. (Jalan Pahang, Setapak), pada harga hanya RM 3,800.00 sahaja (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Mungkin masih banyak lagi unit-unit terakhir model ini yang menanti pembeli di seluruh negara, pada harga yang berpatutan.

Untuk melihat dengan lebih jelas reka bentuk dan spesifikasi Demak Evo Z 125R ini, anda juga boleh melihat paparan video di atas. Video tersebut dirakamkan oleh admin di Pekan Jitra, Kedah, pada tarikh 05hb. September 2017 yang lalu, saksikan.

(Visited 1,809 times, 3 visits today)