Web Analytics
Kawasaki Ninja ZX-25R dibuka tempahan di New Zealand – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Kawasaki Ninja ZX-25R dibuka tempahan di New Zealand

Model 250cc empat silinder Kawasaki Ninja ZX-25R sememangnya amat ditunggu-tunggu oleh peminat di serata dunia, terutamanya di rantau Asia dan ASEAN. Setakat ini antara pasaran yang telah disahkan secara rasmi akan menerima kehadiran Kawasaki Ninja ZX-25R ini ialah Indonesia, Jepun dan juga Thailand.

Namun tanpa disangka-sangka, Kawasaki New Zealand telah mengumumkan bahawa negara tersebut akan turut menerima kehadiran Ninja ZX-25R. Setakat laporan ini ditulis, Kawasaki New Zealand telah membuka tempahan untuk model berkenaan, dengan jadual penghantarannya akan bermula pada bulan Disember 2020.

Lebih menarik lagi, harga untuk Kawasaki Ninja ZX-25R di pasaran New Zealand juga telah didedahkan, membolehkan kita semua membuat andaian berapakah harga sebenar model tersebut. Untuk pasaran New Zealand, harganya ditetapkan sebanyak $15,990 + ORC, bersamaan RM 44,393.16 mengikut kadar semasa.

Harga tersebut sememangnya tinggi, namun Kawasaki New Zealand telah memberikan beberapa sebab kenapa harganya boleh dikatakan agak mahal. Ini kerana Ninja ZX-25R berkongsi banyak ciri-ciri premium seperti mana yang boleh didapati pada model-model yang lebih besar seperti Kawasaki Ninja ZX-6R dan Kawasaki Ninja ZX-10R.

Antara ciri-ciri yang melengkapi Ninja ZX-25R termasuklah Showa SFF Big Piston USD adjustable forks, horizontal backlink adjustable rear suspension, quick shifter, ABS, power modes, traction control, aluminium swingarm, monobloc calliper radially mounted dual piston front brakes dan high-tensile steel chassis yang dibangunkan menggunakan teknologi daripada model Ninja H2.

Oleh itu menurut Kawasaki New Zealand, mereka tidak boleh meletakkan harga Ninja ZX-25R sama seperti harga Ninja 400 atau Ninja 650 seperti mana yang dicadangkan oleh ramai peminat. Disebabkan itu juga mereka telah membuat survey terlebih dahulu untuk melihat penerimaan pasaran yang ternyata sangat memberangsangkan.

Berkenaan harga, mungkin harga yang tinggi itu hanyalah untuk pasaran New Zealand sahaja kerana pasaran negara berkenaan adalah kecil. Tambahan pula kos pengangkutan mungkin antara yang menjadi faktor utama. Jika harga tersebut sama seperti untuk pasaran Malaysia, rasanya jumlah jualan akan bergerak terlalu perlahan. Apa pun bagaimana pula pendapat anda mengenai maklumat terbaharu ini?

 
Arena Motosikal © 2023