Pada bulan Jun 2013, Modenas 118EFI dilancarkan

Pada tarikh 30hb. Jun 2013, Modenas (Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd.) secara rasminya melancarkan model terbaharu keluarannya Modenas 118EFI. Model kapcai tersebut dilancarkan sewaktu berlangsungnya acara DRB-Hicom Autofest 2013, bertempat di Pusat Arena Antarabangsa Pulau Pinang (PISA).

Modenas 118EFI dilengkapi enjin bersesaran 120.3cc (empat lejang, satu silinder, SOHC, sistem penyejukan udara) yang digandingkan dengan transmisi empat kelajuan (sistem gear berputar) yang lancar. Kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 7.8PS (5.76kW) @ 8,000rpm dengan tork maksimum 8.4Nm @ 4,000rpm. Sistem penghidup motosikal tersebut terdiri daripada jenis tendang dan juga elektrik.

Bersesuaian dengan namanya, enjin Modenas 118EFI dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api EFI (Electronic Fuel Injection) yang menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik dan cekap. Dengan tangki minyak yang mempunyai isian penuh 4.3 liter, Modenas 118EFI dikatakan mampu melakukan perjalanan sehingga 250 km.

Selain itu, ianya juga dilengkapi dengan beberapa ciri-ciri yang menarik seperti rekaan meter yang bergaya dan jelas serta turut memaparkan ikon EFI, penunjuk gear digital pada paparan meter, tayar tanpa tiub untuk keselamatan penunggang, rekaan lampu hadapan yang jelas dan memenuhi piawaian Euro 3, serta sistem brek cakera hadapan dwipiston untuk prestasi pemberhentian yang lebih cekap dan selamat.

Sewaktu pelancarannya, Modenas 118EFI didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu biru dan hijau. Harga yang ditawarkan pada ketika itu adalah sebanyak RM 4,755.40, tidak termasuk insuran dan cukai jalan. Tempoh jaminan yang ditawarkan oleh Modenas adalah selama 2 tahun atau 25,000 km, mana-mana yang terdahulu.