Jentera perlumbaan Yamaha YZR250 model tahun 2000

Ini ialah jentera perlumbaan Yamaha YZR250 milik pasukan Tech3, dikendalikan oleh pelumba handalan dari Jepun, Shinya Nakano. Pada tahun 2000 dalam kelas 250cc, Shinya Nakano bergandingan dengan rakan sepasukan Olivier Jacque, dan kejuaraan dunia berjaya dipegang oleh Olivier Jacque, manakala Shinya Nakano di tempat kedua.

Beralih ke sejarah pasukan, Tech3 ditubuhkan pada tahun 1990 oleh bekas pelumba Hervé Poncharal, bersama beberapa orang lagi rakan-rakannya yang lain. Pada tahun 1999, pasukan tersebut bekerjasama dengan Yamaha sebagai pasukan rasmi (factory team). Jadi apa kaitannya pasukan Tech3, Hervé Poncharal dan negara kita Malaysia?

Pada tahun 2018, pelumba tempatan Hafizh Syahrin telah diberi peluang oleh Hervé Poncharal untuk menjadi pelumba pasukan Monster Yamaha Tech3. Pada tahun 2019 berikutnya, beliau masih bersama-sama pasukan tersebut walaupun mereka telah bertukar kepada jentera KTM di bawah nama baharu pasukan Red Bull KTM Tech3.

Bagaimanapun Hafizh didapati kurang serasi dengan jentera KTM berbanding dengan jentera Yamaha, dan setelah sembilan pusingan perlumbaan yang mengecewakan, Hervé Poncharal telah hilang sabar dan telah membuat pengumuman untuk tidak memperbaharui kontraknya dengan pasukan tersebut bagi musim perlumbaan 2020.

Walaupun apa saja drama di antara pasukan Tec3 dan Hafizh Syahrin, peminat dunia permotoran di Malaysia seharusnya berterima kasih kepada pasukan Tech3 dan Hervé Poncharal. Kerana mereka, Malaysia menjadi negara ASEAN pertama yang mempunyai pelumba tempatan yang bersaing dalam kelas teratas perlumbaan MotoGP.