CMC Ario 110 di pasaran Malaysia, harga RM 2,750.00

Di kalangan pelbagai model motosikal kapcai yang ditawarkan di pasaran Malaysia ketika ini, salah satu daripadanya ialah CMC Ario 110. Model ini dilancarkan pada tarikh 20hb. September 2017, dan diedarkan oleh Chear Global Sdn.Bhd., (CGSB). CGSB juga mengedarkan pelbagai jenis model motosikal lain di bawah jenama CMC.

Sewaktu dilancarkan, harga asas CMC Ario 110 adalah sebanyak RM 3,988.00 (tidak termasuk GST pada ketika itu), namun kini berdasarkan pemerhatian di dalam laman sesawang Mudah.my, harganya telah diturunkan kepada RM 2,750.00 sahaja. Harga tersebut dipercayai tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

CMC Ario 110 memiliki enjin empat lejang satu silinder berkapasiti 107cc, dengan padanan transmisi empat kelajuan dan sistem penyejukan jenis udara. Sistem penyampaian bahan apinya dipercayai masih menggunakan unit karburator. Kuasa maksimum yang dihasilkan adalah sebanyak 6.4hp @ 7,500rpm dengan tork 7.0Nm @ 5,500rpm. Menurut CGSB, enjin kapcai ini telah mematuhi piawaian emisi Euro 3.

CMC Ario 110 mempunyai tangki minyak dengan isian penuh 4 liter, manakala berat motosikal berada pada paras 105 kilogram (net weight). Sistem suspensi depannya terdiri daripada sepasang fork teleskopik, sementara di belakangnya ialah penyerap hentak konvensional jenis berkembar. Di bahagian roda depan, ianya dilengkapi sistem brek jenis cakera, manakala di bahagian roda belakang ialah brek jenis dram.

Pilihan warna yang ditawarkan ialah Metallic Red dan Metallic Black, yang digabungkan dengan corak grafik sporty. CMC Ario 110 sebenarnya merupakan model keluaran syarikat Guangzhou Haojin dari negara China, tetapi telah menerima pengubahsuaian dan penambahbaikan agar ianya bersesuaian dengan citarasa pengguna di Malaysia.

(Visited 1,696 times, 1 visits today)