Demak Evo 150R – impian yang tidak menjadi kenyataan

Pada Oktober 2016 yang lalu, syarikat pengeluar motosikal tempatan Demak pernah menyertai pameran motosikal antarabangsa INTERMOT (International Motorcycle Fair) 2016 yang berlangsung di Cologne, Jerman. Ini menunjukkan bahawa Demak bersedia untuk meneroka pasaran baharu di pentas global melalui produk-produk keluarannya.

Apa yang menariknya dalam pertunjukan tersebut ialah Demak telah mempamerkan salah sebuah model terbaharunya iaitu Demak Evo 150R. Model tersebut dilengkapi enjin bersesaran 150cc, namun masih menggunakan casis dan reka bentuk yang sama seperti mana pada model Demak Evo Z 125R yang dijual di pasaran tempatan.

Dengan pengenalan model tersebut di INTERMOT 2016, peminat motosikal tempatan percaya bahawa Demak sedang dalam perancangan untuk menyiapkan sebuah model moped terbaharu dalam kelas 150cc, khususnya untuk bersaing dengan model-model popular lain seperti Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R.

Bagaimanapun setelah hampir dua tahun berlalu, bayangan Demak Evo 150R kian menghilang, malah dunia permotoran tempatan dikejutkan pula dengan laporan bahawa Demak secara rasminya telah menutup operasi perniagaannya pada 31hb. Mei 2018.

Laporan tersebut bukan saja mengejutkan, malah menyedihkan kerana secara tidak langsung impian untuk melihat kemunculan model Demak Evo 150R tidak akan menjadi kenyataan. Pada suatu ketika Demak dilihat mempunyai potensi yang cerah dalam bidang perniagaan motosikal di Malaysia, namun semuanya lenyap sekelip mata.

Setakat ini masih belum dapat dipastikan sama ada Demak akan muncul semula, atau kembali beroperasi menggunakan nama lain, dengan harapan jika syarikat tersebut kembali semula, mereka akan meneruskan projek Demak Evo 150R ini.

Baru-baru ini syarikat baharu Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. telah melancarkan dua buah model kapcai baharu untuk pasaran tempatan, dan penampilan serta spesfikasi kedua-dua model tersebut iaitu Aveta DY90 dan Aveta RX110 mirip dua buah model keluaran Demak yang pernah berada di pasaran sebelum ini.

Tidak pasti sama ada Aveta Global Marketing mempunyai kaitan secara langsung dengan Demak, namun jika syarikat tersebut boleh meneruskan projek Demak Evo 150R, sudah tentu ianya sangat dialu-alukan. Pasti menarik untuk melihat sebuah lagi model moped baharu dalam kelas 150cc bersaing di pasaran tempatan.

(Visited 5,095 times, 1 visits today)