Untuk pasaran domestik Jepun, Yamaha pada tarikh 28hb. Mei 2020 baru-baru ini secara rasminya menawarkan Yamaha MT-10 ABS model tahun 2020 terbaharu, yang kini didatangkan pilihan warna baharu Blue yang lebih dinamik dan sporty.
Menurut Yamaha, warna tersebut merupakan kombinasi di antara warna Yamaha Racing Blue dan Matte Gray, sama seperti warna yang boleh didapati pada model supersport Yamaha YZF-R1 model tahun 2020 terbaharu, yang juga baru saja diperkenalkan untuk pasaran domestik Jepun pada tarikh sama 28hb. Mei 2020.
Menurut Yamaha, penggunaan warna yang sama antara Yamaha MT-10 ABS 2020 dan Yamaha YZF-R1 2020 akan mengukuhkan lagi pertalian di antara kedua-dua model berkuasa tinggi itu yang sememangnya berkongsi casis dan enjin yang sama.
Tambah Yamaha lagi, dua pilihan warna terdahulu iaitu Matte Light Gray dan Matte Dark Gray akan terus dikekalkan untuk musim jualan tahun ini, termasuklah pilihan warna tunggal Silver untuk model premium Yamaha MT-10 SP ABS 2020.
Yamaha MT-10 ABS dan Yamaha MT-10 SP ABS kedua-duanya dilengkapi enjin bersesaran 997cc (in-line, 4-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve) dengan padanan transmisi enam kelajuan, yang seterusnya menghamburkan kuasa kuda maksimum 160PS @ 11,500rpm dengan tork maksimum 111Nm @ 9,000rpm.
Yamaha MT-10 SP ABS bagaimanapun tampil dengan spesifikasi lebih premium apabila dilengkapi sistem suspensi perlumbaan elektronik daripada Öhlins, di samping panel instrumen digital TFT berwarna sepenuhnya bersama-sama pilihan warna eksklusif.
Yamaha MT-10 ABS 2020 ditawarkan pada harga 1,705,000 Yen (bersamaan RM 68,288.36 mengikut kadar semasa), sementara Yamaha MT-10 SP ABS 2020 boleh dimiliki pada harga 2,035,000 Yen (bersamaan RM 81,505.46 mengikut kadar semasa).