Modenas Pulsar NS160 di pasaran Malaysia – RM 7,577.00

Rasanya masih belum terlambat untuk menyiarkan artikel ringkas mengenai model terbaharu Modenas Pulsar NS160 yang dilancarkan secara rasmi dalam bulan September tahun lepas. Harga yang ditawarkan untuk model ini adalah sebanyak RM 7,577.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

Dari segi reka bentuk, Pulsar NS160 mempunyai persamaan dengan model Pulsar NS200 yang turut ditawarkan oleh Modenas di pasaran tempatan ketika ini. Namun perbezaannya ialah Pulsar NS160 dilengkapi enjin bersesaran 160.3cc, manakala Pulsar NS200 mempunyai enjin lebih besar dalam sesaran 199.5cc.

Modenas Pulsar NS160 menawarkan kuasa maksimum 14.8hp (11.05kW) @ 8,500rpm dengan tork puncak 13.99Nm @ 6,000rpm. Enjin DTSi satu silinder dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair itu kemudiannya dipadankan transmisi lima kelajuan jenis berputar. Sistem penghidup terdiri daripada jenis tendang dan elektrik.

Pada harga yang boleh dikatakan berpatutan, Pulsar NS160 tetap tampil dengan pelbagai ciri-ciri menarik antaranya seperti penyerap hentak belakang monoshock Nitrox, brek cakera depan dan belakang, sepasang tayar tanpa tiub, rekaan ekzos di bawah rangka, tangki bahan api maksimum 12 liter dan berat bersih hanya 151 kg.

Modenas Pulsar NS160 turut dilengkapi panel meter LCD dengan gabungan takometer analog bagi memberikan informasi berguna kepada penunggang. Dua pilihan warna yang ditawarkan ialah Biru Saffire + Hitam Satin dan Putih Metalik + Hitam Satin. Tempoh jaminan adalah selama 2 tahun atau 20,000 km, mana-mana yang terdahulu.