Untuk para peminat motosikal di pasaran tempatan yang mahu memiliki sebuah motosikal naked dalam segmen 250cc, Benelli kini menawarkan model terbaharu Benelli TNT 249S pada harga sebanyak RM 15,888.00. Iklan mengenai model tersebut kini banyak dapat dilihat di dalam laman sesawang jual beli popular Mudah.my.
Benelli TNT 249S merupakan kembar kepada model Benelli 302S, namun kedua-duanya mempunyai kapasiti enjin yang berbeza. Benelli 302S dilengkapi enjin dengan kapasiti 300cc dan setakat ini masih belum dilancarkan di pasaran Malaysia. Bagi model Benelli TNT 249S, ianya dilengkapi enjin berkapasiti 249cc (In-line 2-cylinders, 4-stroke, liquid-cooled, 4-valves per cylinder, DOHC) dengan transmisi enam kelajuan.
Ini bermakna pemegang lesen kelas B2 di pasaran tempatan tidak mempunyai sebarang masalah untuk memiliki Benelli TNT 249S, berbanding jika model yang ditawarkan ialah Benelli 302S. Mungkin ini adalah percaturan terkini Benelli di pasaran Malaysia agar lebih ramai peminat tempatan dapat memiliki motosikal keluarannya.
Selain daripada reka bentuknya yang menawan, Benelli TNT 249S menawarkan prestasi enjin yang memuaskan pada angka 31.5hp (23.5kW) @ 10,000rpm, dengan tork maksimum 20Nm @ 9,000rpm. Dengan berat 183 kg (unladed weight), model tersebut dipercayai menawarkan nisbah kuasa kepada berat yang memuaskan. Untuk perjalanan lebih jauh, tangki minyaknya hadir dengan isian maksimum 16 liter.
Aspek lain boleh dikatakan serba lengkap, apabila Benelli TNT 249S menawarkan sistem suspensi yang mantap di bahagian depan (upside-down forks) dan belakang (rear swing arm with lateral shock absorber with extension hydraulic brake and spring preload adjustment) bersama-sama sistem brek cakera depan jenis berkembar (double floating discs 260 mm with 4 pistons caliper) dan cakera belakang jenis tunggal.
Tidak dilupakan ialah kehadiran paparan panel instrumen LCD digital sepenuhnya, di samping lampu depan LED yang tampil dengan rekaan yang bergaya dan elegan. Berdasarkan pemerhatian di dalam Mudah.my, terdapat dua pilihan warna yang menarik ditawarkan untuk Benelly TNT 249S di pasaran tempatan iaitu emas dan hitam.