Video aksi Kawasaki Ninja ZX-25R di atas mesin dyno, jumlah kuasa maksimum bakal didedahkan

Menjelang tarikh pelancaran rasmi Kawasaki Ninja ZX-25R yang dijangka akan berlangsung di Indonesia pada bulan Jun depan, Kawasaki tanpa jemu meneruskan teaser untuk model berkenaan dengan menyiarkan sebuah video terbaharu.

Video tersebut memaparkan aksi Ninja ZX-25R yang dilengkapi dengan sistem ekzos Yoshimura, sedang mengeluarkan raungan garang daripada enjin 250cc empat silindernya sambil disertai percikan api berwarna biru. Paling menarik, Ninja ZX-25R tersebut juga diperlihatkan sedang menjalani ujian di atas mesin dyno.

Jadi persoalannya, berapakah kuasa kuda maksimum yang akan dihasilkan oleh jentera tersebut? Inilah data penting yang sedang dinanti-nantikan oleh para peminat Ninja ZX-25R, kerana setakat ini pihak Kawasaki masih menyimpan kemas maklumat tersebut.

Berdasarkan informasi daripada pelbagai sumber, Ninja ZX-25R dikatakan mampu menawarkan kuasa maksimum dalam lingkungan 50PS sehingga 60PS. Jika benar, sudah pasti ianya tidak akan mampu dicabar oleh jentera 250cc dua silinder yang lain.

Selepas ini dijangkakan Kawasaki akan menyiarkan video teaser seterusnya apabila semakin dekat dengan pelancaran Ninja ZX-25R ini, dan diharapkan kali ini maklumat penuh mengenai jumlah kuasa kuda dan tork akan diumumkan secara rasmi.